suria

Sebelum guna telur, uji dahulu ia tenggelam atau terapung... Cef kongsi ini sebabnya!

Telur yang masih elok akan tenggelam jika dimasukkan ke dalam bekas berisi air. - Pinterest

PERNAHKAH anda membeli sepapan telur, tetapi terlupa untuk menggunakannya?

Pasti pengalaman ini pernah dialami, bukan? Bila tiba pula masa untuk digunakan, mulalah rasa was-was sama ada ia masih elok atau tidak.

Ketua cef di Hello Fresh, Claudia Sidoti berkongsi tip bagaimana untuk memastikan telur di dalam simpanan anda masih selamat untuk dimakan atau sudah tiba masanya untuk anda membuang telur berkenaan.

Kaedah menenggelamkan telur di dalam sebuah bekas yang mengandungi air merupakan cara termudah untuk mendapatkan jawapan.

Jika tenggelam, maksudnya telur masih elok, manakala jika terapung pula adalah sebaliknya.

Namun, apakah penjelasan sebenar di sebalik kaedah tersebut?

Telur yang segar memiliki udara yang kurang di dalamnya, sebab itulah ia tenggelam. Telur yang lama pula mudah terapung.

CHEF CLAUDIA SIDOTI

"Cara ini berkesan kerana kulit telur bersifat menyerap dan membenarkan udara masuk melaluinya.

"Telur yang segar memiliki udara yang kurang di dalamnya, sebab itulah ia tenggelam. Telur yang lama pula mudah terapung," jelas Sidoti.

Jelas beliau, telur lama akan tenggelam secara condong dan tunggang terbalik.

Jika telur terapung, ia bermakna telur tersebut sudah terlalu lama dan anda harus segera membuangnya!

"Jika disimpan secara betul di dalam peti sejuk, telur akan kekal segar selama empat ke lima minggu.

"Di Amerika Syarikat (AS), telur harus disimpan di dalam peti sejuk kerana jika tidak, telur akan menjadi busuk dalam tempoh dua jam sekiranya dibiarkan pada suhu bilik," kata Sidoti.

Jadi, selepas anda membeli telur, jangan tunggu lama-lama! Simpan terus di dalam peti sejuk atau beli sekadar yang ingin digunakan sahaja. - Eat This

telur

Artikel Lain