Perempuan ‘bertelanjang’ tidak cium bau syurga… Patuhi 5 syarat berpakaian untuk elak azab Allah

Wanita beragama Islam tidak dilarang untuk berfesyen namun perlu ada peraturannya dalam menjaga aurat masing-masing. - Gambar Sekadar Hiasan

PAKAIAN merupakan satu perkara yang asas bagi setiap manusia. Ia bertujuan untuk menutup tubuh badan yang sedia kita maklum adalah aurat.

Pakaian juga akan menyerikan penampilan seseorang untuk kelihatan lebih cantik dan bergaya.

Pada zaman sekarang, pakaian dikatakan perlulah mengikut trend dan fesyen. Maka ramailah anak-anak muda berlumba-lumba untuk memenuhi kehendak trend pada masa kini.

ARTIKEL BERKAITAN: Transgender wajib pakai ihram ketika umrah, tutup buah dada dengan bengkung tidak berjahit

ARTIKEL BERKAITAN: Syaitan kuasai manusia kerana sifat jahil... Ketahui 3 ‘belitan’ makhluk itu ketika ibadah

Fesyen itu sendiri adalah satu perkataan yang diambil daripada perkataan Inggeris iaitu fashion yang mana berkembangnya dari Barat. Budaya berfesyen atau bergaya ini adalah salah satu daripada fitrah manusia.

Namun dengan adanya campur tangan Barat maka ia makin dirosakkan dengan idea-idea yang sudah tentu jauh menyimpang dari nilai agama.

Pakaian lambang keindahan

Sabda baginda Rasulullah mengenai hikmah berpakaian adalah bertujuan untuk memperlihatkan keistimewaan seseorang yang merupakan anugerah yang terhebat daripada Allah.

Sesungguhnya kamu akan menemui sahabat-sahabat kamu, maka perelokkan kenderaan kamu, perelokkan pakaian kamu, hingga seolah-olah kamu seorang manusia istimewa di tengah-tengah manusia yang lain kerana Allah tidak suka keburukan dan tindakan-tindakan yang mencerminkan keburukan. - [HR Ahmad 16966].

Islam yang syumul datang memberi garis panduan kepada manusia secara keseluruhannya untuk memberi kebaikan kepada manusia di dunia mahupun di akhirat.

Seseorang muslimah itu ada cara berpakaiannya tersendiri. - Gambar Sekadar Hiasan

Kebanyakan orang bukan Islam di Barat amat menentang wanita menutup seluruh tubuh mereka.

Mereka beranggapan perbuatan itu adalah perbuatan kolot yang mana melanggar hak asasi wanita itu sendiri.

Sesetengah daripada mereka mengatakan perbuatan berbogel adalah salah satu cara menzahirkan hak kebebasan manusia. Hal ini amatlah menyalahi apa yang dituntut oleh Islam yang menjaga kebaikan manusia.

Syarat berpakaian dalam Islam

Islam meletakkan syarat untuk seseorang mengikut fesyen secara umum yang mana adalah seperti berikut:

1. Menutupi aurat. Aurat bagi lelaki ialah antara pusat hingga lutut. Bagi wanita pula seluruh anggota tubuh kecuali muka dan tapak tangan.

2. Mengelakkan daripada menutup sebahagian aurat dan membuka sebahagian yang lain. Seperti seorang wanita yang memakai tudung akan tetapi memakai baju yang berlengan pendek.

3. Jangan mengenakan pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulit.

4. Tidak terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan.

5. Tidak melampau dalam berhias dan tidak menggunakan wangi-wangian dengan tujuan menarik perhatian lelaki.

Dua golongan yang menjadi ahli neraka

Sabda Rasulullah: Dua jenis manusia yang akan menjadi ahli neraka, yang mana aku tidak sempat melihat mereka, (kerana tidak ada pada zamanku. Mereka ini akan lahir pada akhir zaman). Yang pertama kata Nabi ialah golongan yang memegang alat sebatan seperti ekor lembu yang digunakan untuk memukul manusia (melakukan kezaliman). 

Dan golongan kedua kata Nabi SAW adalah kalangan perempuan berpakaian tetapi bertelanjang, pakaian yang menggodakan, pakaian yang nipis, pakaian yang ketat; di atas kepala mereka dihias. Rambutnya laksana bonggol unta. Mereka tidak dapat masuk ke syurga, bahkan tidak dapat menghidu dan mencium keharumannya, walaupun baunya syurga itu dapat dihidu dari jauh. - [HR Muslim 5098].

Mutakhir ini, pegangan sebahagian umat Islam dilihat semakin longgar apabila terdapat dalam kalangan suami dan ibu bapa sengaja membiarkan isteri dan anak-anak mereka mendedahkan aurat.

Memakai tudung namun masih menampakkan telinga kerana hiasan anting-anting (gambar kiri) adalah cara pemakaian yang salah sebaliknya seseorang wanita itu perlu menutup penuh bahagian kepala sehingga menampakkan wajah sahaja seperti gambar kanan.

Perkara ini amat dikhuatiri dan menakutkan kita. Ada dalam kalangan mereka terlalu obses mengikuti trend pakaian semasa sehingga melanggar syarat-syarat yang dinyatakan di atas.

Mereka tanpa segan silu memakai seluar senteng dan sengaja mengeluarkan cuping telinga yang jelas-jelas sebahagian daripada aurat untuk memakai anting-anting.

Terdapat juga wanita Islam yang mendakwa mereka menutup aurat namun mereka sebenarnya menipu diri sendiri.

Ini boleh dilihat apabila ramai wanita memakai pakaian yang menutup aurat tetapi dalam masa yang sama pakaian berkenaan terlalu ketat hingga menampakkan bentuk dan susuk tubuh.

Selain itu, ada pula yang hanya menutup aurat pada waktu-waktu dan tempat-tempat tertentu sahaja sebagai tanda penghormatan dan memenuhi keperluan adat.

Misalnya pada hari Jumaat, ketika berada di tanah suci, ketika menghadiri majlis keagamaan dan menziarahi jenazah.

Namun, pada waktu lain mereka kembali memakai pakaian yang mendedahkan aurat tanpa segan silu seolah-olah kewajipan menutup aurat ada tempoh masa, tempat tertentu dan hari tertentu sahaja.

Sebagai hamba Allah yang lemah dan pastinya tidak mampu menahan azab seksaanNya yang amat pedih, maka sewajarnya kita memandang berat isu pendedahan aurat dan memastikan kita serta ahli keluarga sentiasa mematuhi etika pemakaian yang digariskan oleh syarak.

Marilah kita meneguhkan rasa takut pada azab Allah kerana semua amalan yang kita lakukan akan dihitung di akhirat hatta sebesar zarah.

Kesimpulannya, Islam tidak menghalang umatnya untuk berfesyen sesuai dengan gaya hidup masa kini, namun ia hendaklah mematuhi kehendak syarak yang bertujuan menjaga kemuliaan insan, khususnya dalam kalangan wanita.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). Beliau juga merangkap Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia, YADIM.

pakaian, trend, kewajipan

Artikel Berkaitan

Klik

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Artikel Lain