suria

Syaitan kuasai manusia kerana sifat jahil... Ketahui 3 ‘belitan’ makhluk itu ketika ibadah

Semoga kita dijauhkan daripada bisikan dan hasutan syaitan yang menyesatkan. Gambar sekadar hiasan

SEBELUM ini Dr Hadi (HD)telah menceritakan mengenai enam jenis bala tentera iblis dan kali ini DR HD akan mengupas bagaimana tipu daya syaitan menyebabkan manusia terjerumus ke dalam kancah maksiat.

Semoga dengan perkongsian ini dapat membuatkan kita lebih berhati-hati dalam setiap gerak langkah kita agar dapat mengelak daripada terpedaya dengan makhluk yang dilaknat Allah ini.

Permulaan iblis menjadi musuh manusia apabila mereka ingkar perintah Allah apabila enggan sujud kepada manusia seperti yang dikatakan dalam firman Allah dalam Surah As-Saad Ayat yang ke 76 yang maksudnya; Iblis berkata: "Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah."

ARTIKEL BERKAITAN: Kenali 6 jenis tentera iblis bersama godaan maha dahsyat untuk bawa manusia ke neraka

Keingkaran itu disebabkan oleh sikap sombong yang menguasai diri selain merasakan diri lebih baik daripada segala-galanya. Sejak itu, iblis berjanji akan memesongkan dan menyesatkan anak-anak Adam supaya mereka dimurkai Allah lalu dapat bersama-sama untuk masuk ke dalam api neraka.

Pelbagai cara dilakukan oleh iblis untuk menggangu ibadah manusia. 

Oleh yang demikian, kita selaku hamba Allah dimuliakan perlu berwaspada dengan bisikan syaitan yang sentiasa mahu menyesatkan manusia kerana golongan itu merupakan musuh kita yang nyata.

Bisikan syaitan kepada orang yang melakukan ibadah

Sabda Rasulullah: Sesungguhnya syaitan telah meletakkan muncungnya di atas hati anak-anak Adam. Jika seseorang itu mengingati (Allah) syaitan itu akan hina (akan jauh darinya), akan tetapi jika seseorang itu lupa mengingati (Allah) maka ia akan melekat di hatinya, demikian itu adalah bisikan yang jahat. - [HR Musnad Abi Ya'la].

Para alim ulama mengingatkan kita bahawa pintu utama yang mudah syaitan tembusi dalam diri manusia adalah dengan kejahilan.

Jika kita melihat ayat pertama Allah turunkan kepada baginda Rasulullah bermula dengan suruhan membaca iaitu surah Al-Alaq atau dipanggil juga surah Al-Qalam.

Ia merupakan ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah ketika baginda di Gua Hira.

Ayat ini mengajar manusia betapa pentingnya ilmu. Ini kerana dengan ilmu kita akan dapat membezakan antara haq dan batil.

'Belitan' syaitan akan menyuruh kita melakukan ibadah yang banyak tetapi tidak menuntut ilmu. Pada hal ia lebih utama berbanding perkara sunat yang lain.

Antara contoh yang DR HD boleh berikan adalah seperti berikut:

1. Belitan syaitan ketika seseorang berwuduk

Ketika seseorang Islam itu berwuduk, maka syaitan segera melakukan kerja jahatnya dengan berbisik agar manusia membazirkan air. Sebab itulah kita sering melihat ada sesetegah individu yang membasuk anggota badan lebih dari tiga kali basuhan selain membuka air dengan banyak yang boleh menyebabkan berlakunya pembaziran.

Syaitan akan membisikkan kepada mereka dengan mengatakan: "Engkau sekarang sedang melakukan ibadah, jika tidak menggunakan air yang banyak maka ibadah nanti tidak sah.

Bukankah baginda Rasulullah pernah mengingatkan kepada Sa'ad yang ketika itu sedang berwuduk dengan sabda baginda: "Kenapakah israf (berlebihan) ini?". Maka Sa’ad menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat israf? Lalu Baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir.”  - [HR Ibn Majah 425].

2. Belitan syaitan ketika seseorang mengerjakan solat

Di antara belitan syaitan terhadap orang yang ingin mengerjakan solat ialah pada pakaiannya.

Ada dalam kalangan mereka yang sanggup meninggalkan solat di tempat kerja semata-mata kerana takut pakaiannya terkena kotoran di jalanan sedangkan mereka hanya meraguinya (was-was).

Islam merupakan agama yang mudah, oleh yang demikian sesuatu yang diyakini tidak akan dihilangkan oleh sesuatu keraguan.

Justeru jika pakaian tidak dapat dibuktikan terkena najis secara zahir, maka perasaan was-was itu perlu dielakkan kerana ia hanyalah permainan syaitan.


Antara situasi lain pula ialah seseorang itu melakukan takbir berulang kali kerana mereka ingin membetulkan niat seperti apa yang mereka lafaz. Mereka sebenarnya menterjemahkan apa yang mereka lafaz ke dalam bentuk niat sedangkan niat itu adalah satu lintasan hati.

Bukankah sewaktu kita bangun untuk menunaikan solat fardu itu niat kita sudah hadir?

Sebagai contoh, terlintas dalam hati untuk melakukan solat Maghrib ketika bangun mahu mengerjakannya ketika tamat azan, ia sudah dikira niat.

Antara orang-orang yang terbelit dengan was-was syaitan juga ialah apabila mereka telah terselamat daripada diganggu di dalam niatnya dan telah bertakbir maka syaitan akan melalaikan mereka di dalam solat pula.

Di dalam sebuah hadis baginda Rasulullah 'Utsman bin Abu Al 'Ash datang kepada Nabi lalu bertanya: "Ya, Rasulullah! Aku sering diganggu syaitan dalam solat, sehingga bacaanku menjadi kacau kerananya. Bagaimana itu?

Maka sabda Rasulullah: "Ya, yang demikian itu memang gangguan syaitan yang dinamakan Khanzab kerana itu bila engkau diganggunya, maka segeralah mohon perlindungan kepada Allah daripada godaannya, sesudah itu meludah ke sebelah kirimu tiga kali!" Kata Usman; 'Setelah ku lakukan yang demikian, maka dengan izin Allah godaan seperti itu hilang. - [HR Muslim 4083].


3. Belitan syaitan ketika seseorang bangun untuk solat malam

Syaitan menimpakan belitannya ke atas orang yang bangun solat malam sehingga mereka dengan gembiranya bercerita kepada orang lain di siang hari dengan niat untuk mendapat pujian sedangkan mereka telah termasuk ke dalam sifat riyak.

Ada di antara mereka yang terlalu menjaga solat sunat di malam hari sehingga terlalai solat subuh ataupun terlalu sibuk menyiapkan diri sehingga tertinggal berjemaah untuk solat subuh.

Kesemua ini merupakan contoh-contoh sebilangan kecil bisikan syaitan yang ingin membinasakan manusia.

Jadi persoalannya ialah bagaimanakah cara untuk kita mengatasi setiap belitan syaitan yang telah disebutkan tadi? Menerusi artikel berikutnya, saya akan menjelaskan secara terperinci.

Semoga kita semua dirahmati Allah, dah kongsi-kongsilah artikel ini agar kita mendapat sedikit ganjaran di akhirat kelak daripada ilmu yang bermanfaat.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). Beliau juga merangkap Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia, YADIM.

Addin, Syaitan, Iblis, Ibadah, Solat, Gangguan

Artikel Lain