suria

Orang berpuasa akan masuk pintu khas di syurga, rebutlah pahala sepanjang tahun dengan puasa enam

Allah menyediakan satu syurga khas untuk hambanya yang berpuasa. - Gambar hiasan/Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI

IBADAH puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam.

Selain puasa fardu yang dilaksanakan di bulan Ramadan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat pada bulan-bulan lain.

Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada Isnin dan Khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ’Asyura’ dan enam hari di bulan Syawal).

ARTIKEL BERKAITAN: Berdamailah sempena Aidilfitri… 4 balasan Allah beri jika putuskan silaturahim

Orang-orang yang berpuasa dengan keimanan dan keikhlasan mereka layak untuk mendapat pelbagai kenikmatan daripada Allah.

Diantara nikmat yang sungguh hebat untuk mereka yang berpuasa adalah satu syurga yang dikhaskan untuk orang-orang yang berpuasa sahaja.

Ini berdasarkan sebuah hadis baginda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya di syurga ada sebuah pintu yang disebut dengan ar-Rayyaan, yang akan dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat, tidak ada yang memasukinya, kecuali orang yang berpuasa.

Umat Islam dilarang menunaikan puasa enam pada 1 Syawal. - Gambar hiasan/ Foto A Malex Yahaya

Ada yang berkata : “Di mana orang-orang yang berpuasa?”, maka mereka berdiri, tidak ada seorang pun yang memasukinya, selain mereka, jika mereka sudah masuk, maka pintu itu tertutup, dan tidak ada seorang pun yang boleh masuk ke dalamnya”. (Al-Bukhari : 1896)

Di dalam hadis yang lain sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. (Al-Bukhari : 2840)

Kelebihan puasa enam hari di bulan Syawal

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (Muslim : 1164)

Kefahaman daripada hadis ini Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diberikan pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.

Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda.

Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari.

Nabi SAW melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha.

HADIS BUKHARI

Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.

Sesungguhnya Allah SWT maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendakiNya.

Hukum puasa enam

Puasa enam merupakan amalan sunat. Telah berkata Imam An-Nawawi : “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

Bilakah Puasa sunat enam Syawal perlu dilakukan?

Puasa sunat enam paling awal boleh dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidilfitri dan umat Islam dilarang daripada berpuasa pada hari tersebut.

Abu Hurairah ra berkata: “Nabi SAW melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha.” (Bukhari no: 1991).

Terdapat pelbagai pandangan berhubung puasa enam yang dilaksanakan serentak dengan puasa ganti. - Gambar hiasan/Foto Bernama

Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut atau secara berasingan?

Tidak menjadi kesalahan jika ia dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal.

Ini kerana apabila Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa menentukan hari-harinya.

Adakah puasa sunat enam hari di bulan Syawal dibuat sebelum menggantikan puasa Ramadan?

Terdapat perbincangan dalam kalangan para fuqaha’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu masih belum menggantikan puasa Ramadan atau tidak menjadi masalah untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal dahulu? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat.

Pandangan Pertama : Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu ‘anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu digantinya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. 

Aisyah ra berkata: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu menggantikannya kecuali pada bulan Sya’ban”. (Muslim no: 1146)

Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. 

Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang menggantikan puasa Ramadan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.

Menurut Imam An-Nawawi, Mazhab Maliki, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qada puasa Ramadan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan menggantikannya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qada terus apabila boleh melakukannya”. (Syarah Sahih Muslim 8/22).

Pendangan Kedua: Tidak boleh, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri. 

Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”

Rasulullah meletakkan syarat 'berpuasa Ramadan' terlebih dahulu, kemudian barulah mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal. 

Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadannya. 

Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diganti terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah dibolehkan menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qada dan puasa enam hari di bulan Syawal.

Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardu dan tidak bagi yang sunat.

Sementara itu, ada dalam kalangan ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. (Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428).

Maka sebaik-baiknya lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredaan Tuhannya.

***Dr. Nur Mohammad Hadi merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Puasa enam, Syawal

Artikel Lain