suria

Aroma sate dibakar guna tempurung bangkit selera... daging lebih lembut, juicy!

Cawangan kedua Jamri Sate Tempurung menyediakan pelbagai menu baharu sebagai pilihan kepada pelanggan.

HIDANGAN sate sememangnya mudah diperoleh dan boleh dikatakan kebanyakan restoran atau kedai makan akan menjualnya kerana makanan ini popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tapi, nak dapatkan sate yang lembut dan sedap serta menepati citarasa bukanlah mudah.

ARTIKEL BERKAITAN: Di Banting ada nasi Arab sedap! Daging kambing cair dalam setiap suapan, harga pun berbaloi

Ramai juga yang menyangka rasanya lebih kurang sama sahaja kerana ia sekadar hirisan daging yang dipotong dan diperap dengan rempah sebelum dicucuk pada lidi untuk dibakar.

Jika anda pernah berkunjung ke Banting, Selangor dan merasai juadah sate di Jamri Sate Tempurung, pastinya anda akan terpukau dengan keunikan rasanya,

Kak Maz menunjukkan sebahagian menu yang dijual di restorannya.

Kak Maz menunjukkan sebahagian menu yang dijual di restorannya.

Selain hirisan daging yang lembut dan juicy, aroma wangi dari perapan rempah istimewa turut dirasai dalam setiap kunyahan.

Dicicah pula dengan kuah kacang resipi warisan dan dihidangkan bersama-sama hirisan timun, nasi impit serta bawang, pastinya membangkitkan lagi selera.

Bau daging perap yang dibakar menggunakan tempurung kelapa bukan sahaja menjadikan ia hidangan klasik malah memberikan aroma yang memikat citarasa anda!

Menurut pengasasnya, Mazlina Muhammad, rempah perapan dan kuah kacang yang dihasilkan adalah resipi turun temurun Wak Maramin yang merupakan bapa mentuanya.

"Perniagaan ini bermula sejak enam tahun lalu apabila suami, Jamri Parjo menyatakan hasrat untuk 'mengembalikan' perniagaan sate yang pernah diusahakan ayahnya sebelum ini.

Nasi lemak ayam antara pilihan utama pengunjung.

Nasi lemak ayam antara pilihan utama pengunjung.

"Bezanya kami menggunakan tempurung kelapa, selain menjadi trademark ia memberikan keunikan pada rasa dan aroma sate Jamri," ujarnya yang turut membuat keputusan berhenti kerja selepas berkhidmat lebih 20 tahun di Shah Alam, bagi memberi tumpuan dalam perniagaan.

Mesra disapa Kak Maz, ujarnya, selepas enam tahun beroperasi di sebuah kedai di Simpang 3 Labohan Dagang dan menjual sate semata-mata, kini dia berjaya membuka cawangan di Bukit Changgang serta turut menyediakan beberapa menu tambahan sebagai pilihan kepada pelanggan.

"Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kami ada buka kedai di Kota Warisan, Sepang tetapi tak dapat bertahan sebab kawalan kerajaan dan wabak.

"Jadi tak sangka dapat peluang untuk buka kedai di Bukit Changgang... di sini kami bermula sejak Julai lalu," ujarnya.

Jamri memanggang sendiri sate pada permulaan perniagaannya enam tahun lalu.

Jamri memanggang sendiri sate pada permulaan perniagaannya enam tahun lalu.

Tambah Kak Maz, setiap hidangan yang disediakan dimasak sendiri olehnya bagi menjaga kualiti serta rasa.

Bagi anda yang ingin merasai keunikan rasa aneka jenis sate tempurung, boleh datang ke Restoran Jamri Sate Tempurung Bukit Changgang, Banting.

Terdapat juga menu tambahan sebagai pilihan seperti nasi ayam penyet, nasi lemak, laksa dan aneka sup.

Waktu operasi bermula jam 4 petang sehingga 10.30 malam.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain