suria

Tak cukup sepinggan! Gulai pisang muda ikan masin, kari kambing di restoran ini buat pelanggan teringat-ingat

Nabisha mengusahakan restoran Abahang sejak 2017.

GULAI pisang muda, gulai nangka dan gulai terung dicampur dengan ikan masin antara menu masakan kampung yang semakin sukar dinikmati kerana jarang dihidangkan oleh kebanyakan restoran terutamanya di bandar-bandar besar.

Kesukaran memperoleh bahan mentah seperti pisang muda yang sesuai dan cara penyediaan mengikut masakan asli orang dulu-dulu antara faktor hidangan ini dianggap klasik dan unik terutama dalam kalangan generasi muda.

Bagaimanapun, pemilik Restoran Kari Kambing Abahang yang terletak di Cahaya Alam, Shah Alam, Selangor, Nabisha Rofli berkata, permintaan terhadap menu kampung sentiasa tinggi dalam kalangan penggemarnya.

STJ_0115

Kari kambing yang menjadi menu pilihan pelanggan.

Atas alasan tersebut dia berusaha mengekalkan menu masakan kampung hampir setiap hari.

"Pelanggan datang ke restoran sebab mereka mencari menu kampung terutama gulai pisang muda yang dikenali sebagai pisang kari. Jenis pisang ini susah ditemui sekarang.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak tukar selera? Apa kata cuba menu Western di Banting... Memang power!

ARTIKEL BERKAITAN: Segar, menyelerakan... peminat K-Drama pasti suka bingsu buah selambak!

"Cara penyediaannya agak mudah tetapi ada tekniknya bagi memastikan pisang benar-benar empuk dan sedap apabila dihirup bersama kuahnya yang tidak terlalu pekat dan juga tidak terlalu cair.

"Ramai juga yang mahukan gulai nangka muda dan gulai terung ikan masin yang dimasak menggunakan kaedah gulai darat. Menu ini biasanya menjadi tarikan warga kota yang berasal dari negeri di sebelah utara," katanya.

Bagi yang tidak tahu, 'gulai darat' bermaksud di awal masakan tiada tumisan rempat ratus seperti kelaziman penyediaan gulai atau lebih dikenali sebagai kari.

STJ_0019

Gulai pisang muda ikan masin mendapat permintaan tinggi pelanggan.

Ini bermakna kuahnya sama ada menggunakan santan atau asas rempah sahaja terus dimasak ke dalam periuk sehingga mendidih dan barulah dimasukkan bahan-bahan utama.

Sungguhpun bunyinya seperti mudah namun masakan ini memerlukan kemahiran dan pengalaman untuk mengekalkan rasa dan aroma setiap masa.

Istimewanya Restoran Abahang yang telah beroperasi sejak 2017, ia turut menghidangkan kari kambing, kari ikan temenung (kembong) dan kari ikan semilang yang turut mencuri tumpuan pelanggan.

STJ_0244

Singgang ikan tongkol.

"Penyediaan kari kambing berbeza dengan restoran lain kerana pes atau rempah ratus yang digunakan kami proses sendiri. Mungkin ini antara rahsia keenakan kari kambing di sini dan paling tinggi permintaan. Menu ini diimakan bersama nasi putih atau nasi minyak kampung.

"Bagi penyediaan kari ikan temenung dan ikan semilang pula kuahnya di masak dahulu dan apabila pelanggan menempahnya baru dimasukkan ikan yang telah siap dibersihkan dan dihidangkan panas-panas. Kaedah ini memastikan isi ikan lebih kenyal dan sedap," katanya.

Menurut Nabisha, kebanyakan menu utara di restorannya dipelajari daripada ibu mentuanya yang berasal dari Bukit Merah, Perak.

"Walaupun saya berasal dari negeri di utara namun penyediaan masakan ibu mentua yang menggunakan kaedah orang dulu-dulu lebih praktikal untuk dikomersialkan dan menjadi pilihan ramai. Jika mahu menikmati hidangan lebih elok datang awal,” katanya.

Restoran Kari Kambing Abahang

Lokasi: 64, Jalan Selasih H U12/H, Cahaya Alam, Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Dibuka setiap hari kecuali Isnin dari pukul 7 pagi sehingga pukul 4 petang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain