suria

Wow! Menu Sushiwak serendah RM1, patut Wak Doyok tak cukup tangan layan pelanggan

Sushiwak tarik ramai pelanggan berkunjung selain penggunaan citarasa melayu dalam keunikan sushi.

SUSHI merupakan salah satu menu istimewa asal Jepun yang terkenal dengan kepelbagaian variasi dan olahan serba unik, malah ia cukup popular dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Namun rata-rata penggemar makanan itu mula mencari kelainan dari segi rasa dan rupa bentuk sushi yang lebih sesuai dengan citarasa tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak makan macam-macam tapi tak perlu rentas banyak negeri? Jangan risau... Ini 10 tempat makan best, semuanya di Muar

Menyedari akan hal itu, usahawan dan ikon fesyen Mohd Azwan Mohd Nor atau Wak Doyok kini meluaskan lagi empayar perniagaan dalam bidang makanan dengan membuka restoran Sushiwak yang terletak di Melawati Mall, Kuala Lumpur.

Menariknya mengenai restoran yang dibuka secara rasmi pada 26 Disember tahun lalu itu, ia menghidangkan sushi dengan citarasa kemelayuan yang lebih dekat dengan selera tempatan.



Wak Doyok pamerkan rasa teruja selepas restoran miliknya terima kunjungan pelanggan yang ramai.

Atas dasar itu juga, meskipun baharu sahaja dibuka, ia mula menjadi tumpuan sehingga pekerja tidak cukup tangan melayan pelanggan.

Bercakap mengenai menu di Sushiwak, Wak Doyok selaku pemiliknya memberitahu sushi yang dihasilkan dibuat menggunakan produk halal dengan suntikan elemen tempatan dalam resepi dan rasanya.

"Saya sebenarnya terinspirasi dari program realiti 'Ke Jepun Ke Kita?, Ke Korea Ke Kita?, Ke Indonesia Ke Kita?' dan pengalaman tiga bulan duduk Jepun hari-hari makan sushi, jadi terlintas dalam fikiran kenapa tak cuba buka restoran sushi tetapi sesuai dengan tekak orang Melayu.

"Pun begitu, kelainan itu tidaklah sehingga ke arah resepi pelik-pelik dan merosakkan keunikan sushi itu cuma sekadar nak tampilkan kelainan dalam menu sedia ada," katanya.



Curry Chicken Katsu Bento antara menu utama paling laris dengan rasa kari istimewa di Sushiwak.

Sementara itu, pengalaman mencuba sendiri sushi di Sushiwak cukup menarik perhatian terutamanya Curry Chicken Katsu Bento yang pastinya kena dengan selera tempatan.

Menggunakan resepi baharu dalam masakan, ia turut datang dengan ayam goreng bersalut serbuk roti, beras masam yang juga dikenali sebagai nasi sushi, salad, buah oren, pencicah kicap soya dan kuah kari yang membangkitkan rasanya.

Bagi yang inginkan kelainan, Curry Chicken Katsu Don, Curry Karaage Chicken Don, Soft Shell Crab Bento dan Chicken Shigayaki Bento adalah pilihan tepat - aromanya sudah cukup membuatkan sesiapa sahaja terliur.

Ia turut dihiasi dengan taburan bijan hitam, putih, rumpai laut bersama sos pencicah.



Persembahan Tempura Cha Soba dalam menu tarik perhatian tetamu yang datang.

Manakala Cha Soba dan Tempura Cha Soba di carta kedua menjadi pilihan pelanggan yang berkunjung ke restoran itu, menggunakan mee hijau jelas menarik perhatian ramai - ia turut disajikan dengan sup khas, wasabi, hirisan daun bawang, bijian bijan, taburan rumpai laut sebagai penambah rasa, malah udang tempura yang digoreng bersalut serbuk roti memeriahkan lagi kunyahan mulut dengan bunyi kriuk kraknya!

Bagi mereka yang mencari rasa makanan lain jangan bimbang, pelbagai jenis makanan terdapat dalam menu seperti Chicken Karaage Ramen, Tempura Zaru Soba, Chicken Katsu Don dan sebagainya.

Kata Wak Doyok, apa yang penting dalam resepi sushi adalah untuk memberikan pengalaman rasa dan kelainan kepada mereka yang datang berkunjung sekaligus dapat merasakan pengalaman di Sushiwak.



Kelainan Sushiwak dari segi persembahan, tekstur dan warna wujudkan perbezaan dengan restoran lain.

Ikon fesyen itu menjelaskan, cef atau tukang masaknya adalah warga tempatan dan bukan sebarang cef kerana mereka sekurang-kurangnya memiliki pengalaman 10 tahun keatas dalam bidang masakan khususnya pembuatan sushi.

"Cef saya warga tempatan dan banyak pengalaman dalam bidang masakan dan pembuatan sushi. Hampir semua resepi cef saya yang buat, tambah dan wujudkan resepi-resepi baharu seperti Curry Chicken Katsu Bento dengan rasa kari yang istimewa.

"Sushi yang ditawarkan mengikut harga warna pinggan seperti pinggan berwarna hitam hanya RM1, merah pula RM3 dan kuning RM5," jelasnya.



Sashimi dan Edamame menjadi pilihan utama pembuka selera rakyat tempatan.

Mengintai menu istimewa yang lain termasuklah Salmon Cheese Maki yang dihias indah, sehinggakan rasa dan teksturnya sahaja meninggalkan kesan istimewa buat penggemar sushi.

Tak cukup dengan itu, pelanggan juga disarankan untuk merasai kelainan menu Inari, Tamago Nigiri, Tamago Maki, Kani Mayo Nigiri dan Seaweed Tuna Mayo Maki yang akan menjadikan pelanggan jatuh hati dan berkunjung semula.

Bagi yang gemarkan salad, menu cadangan adalah Fresh Salmon Salad, Kani Salad dan Salmon Skin Salad disamping pembuka selera yang istimewa seperti Japanese Edamame (cukup terkenal di semua lapisan masyarakat), Salmon Skin, Seasoned Baby Octopus, Seasoned Jellyfish dan Seasoned Scallop Wings.



Sushiwak miliki kelainan tersendiri dari segi dekorasi tanpa merosakkan keunikan persembahan sushi sedia ada.

Sashimi juga mendapat tempat di hati masyarakat tempatan dengan persembahan dan rasanya yang menarik seperti Norwegian Fresh Salmon, Tako, Chirashi Don, Maguro dan Sashimi Mori Set untuk pelanggan yang inginkan set.

Restoran Sushiwak bukan sahaja memberikan kelainan rasa dan teksturnya malah persembahannya yang menarik - paling penting restoran Sushiwak adalah dijamin halal!

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Sushiwak, sushi king, sushi, makanan

Artikel Lain