suria

Nak makan macam-macam tapi tak perlu rentas banyak negeri? Jangan risau... Ini 10 tempat makan best, semuanya di Muar

Muar antara bandar syurga makanan kerana terdapat pelbagai jenis makanan boleh didapati di sini.

DIKENALI sebagai Bandar Maharani, Muar merupakan daerah kedua terbesar di Johor.

Jadi jika berpeluang ke negeri Johor, anda wajib berkunjung ke bandar Muar.

ARTIKEL BERKAITAN: Seram tengok harga menu semasa bercuti? Ini 5 sebab makanan di kawasan tumpuan pelancong lebih mahal

Berita baik bagi yang suka food hunting, jika anda merancang ke Muar, ada beberapa tempat untuk dikunjungi.

Sebut sahaja makanan apa yang anda craving semua boleh didapati di Muar sehingga puas anda nikmati.

Ini 10 tempat makan yang menarik boleh buat anda terliur dan tentunya ingin cuba lagi dan lagi!

1. Medan Ikan Bakar Sabak Awor

Jika anda gemarkan makanan laut, jangan lupa untuk singgah ke restoran ini.

Kedai makan ini berdekatan menara peninjau di mana anda boleh berjalan dan ambil angin sementara menunggu makanan siap dihidangkan.

2. Muar Soup House

Merupakan gerai makan paling terkenal dalam kalangan penduduk Muar.

Sudah semestinya wajib untuk anda cuba sup istimewa yang memiliki keunikan serta kelainan berbanding di tempat-tempat lain.

Antara menu terlaris restoran ini adalah sup gearbox kambing yang dimakan dengan roti kerana ia lebih enak dicecah berbanding dimakan begitu sahaja.

3. R&H Cafe

Adalah tidak lengkap perjalanan jika anda melancong ke Muar tetapi tidak singgah bersarapan di gerai ini.

Berkonsepkan selera Muar, gerai ini menyajikan hidangan yang hanya boleh didapati di daerah ini.

Menu wajib dipesan untuk dicuba tentu sekali Sate Maharani, Mee Rebus Jawa, Lontong Champion, Tauhu Lentok serta Nasi Ambeng.

4. Muar Art Cafe

Selain makanan, di cafe ini anda juga boleh merasai pengalaman melihat hasil seni di galeri yang tersedia di sini.

Lebih unik lagi apabila hanya di kafe ini sahaja anda berpeluang merasai nasi lemak yang dimasak menggunakan bunga telang.

Tidak cukup dengan itu, anda juga boleh merasai pengalaman mempelajari cara pembuatan kraf seni itu sendiri.

5. Restoran Rabbit Home Muar Historia

Jangan tersilap kerana sekali pandang anda mungkin ingatkan ini sebuah muzium semata-mata tetapi sebenarnya ia turut menempatkan sebuah restoran.

Pemilik restoran cuba untuk hadirkan konsep ini bertujuan supaya kita lebih mengenali sejarah di Malaysia sambil menikmati makanan yang enak.

Antara menu popular yang wajib anda cuba jika singgah ke sini adalah Nasi Goreng Kampung Diraja, Karipap Maharani dan juga Bihun Goreng Permaisuri yang digoreng dengan lada hitam.

6. Kambing Gunting Muar

Peminat daging kambing jangan lepaskan peluang merasai sendiri pengalaman mencuba menu wajib iaitu Kambing Gunting yang disediakan di sini.

Menu istimewa kambing gunting pula dihidangkan dengan pelbagai set termasuk kentang goreng dan juga bebola daging.

7. Mee Bandung Muar Abu Bakar

Bagi yang mencari gerai mee bandung asli di Muar, anda boleh singgah ke Mee Bandung Abu Bakar Hanipah yang tidak asing lagi di sini.

Satu mangkuk mungkin tidak cukup. Begitulah boleh digambarkan tahap kesedapan mee bandung di gerai ini kerana kuahnya yang cukup enak.

Dengan kepekatan dan rasa kuah cukup seimbang yang terdapat di sini membuatkan ia popular sejak dari dulu lagi.

8. Murtabak Tanah Melayu II

Ingin mencuba murtabak yang cukup terkenal di Muar? Restoran murtabak yang menjadi bualan ramai tentu sekali Restoran Murtabak Tanah Melayu II.

Restoran ini menyajikan murtabak keju yang digilai ramai. Ianya bukan sahaja tebal, malah kejunya juga banyak. Selain murtabak, mi bandung Muar juga merupakan antara menu yang tersedap di sini. Rugi kalau tak cuba!

9. Nasi Beriyani Gam Muar

Mesti ramai yang dah pernah cuba nasi briyani di beberapa restoran, tetapi jika berkunjung ke Muar inilah masanya untuk merasai menu nasi briyani di sini.

Nasi Briyani Gam Muar adalah makanan cukup serasi dan digemari oleh masyarakat sekarang terutamanya dalam kalangan masyarakat di selatan tanah air.

Nasi briyani merupakan hidangan menggunakan beras basmati yang dimasak bersama rempah-rempah, sayuran, atau daging yang boleh didapati di Beriyani Gam Pak Mail.

10. Cafe Kopi 434

Tidak lengkap perjalanan jika tidak singgah di kafe ini. Bagi coffee lover wajib singgah di kafe yang terkenal dengan kopi yang sudah bertahan sehingga lebih 60 tahun ini.

Sejurus anda masuk sahaja di sini, anda akan disambut dengan aroma kopi yang cukup membangkitkan semula mood anda.

Selain kopi, anda wajib cuba menu roti tip tap yang ada di kafe ini. Memang ngam sangat gandingan dua makanan ini!

Jadi apa di tunggu lagi, jom mula rancang perjalanan ke Muar untuk merasai keenakan juadah yang dihidangkan di sini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain