suria

Keju meleleh pizza 'jangok' Mek Ani bikin tak keruan

Mek Ani bersama beberap jenis pizza yang dijualnya. Foto BERNAMA

NAMA Pizza Jangok (cantik) Mek Ani mungkin kedengaran pelik bagi pastri berasal dari Itali itu namun itulah keunikan yang dicipta Noraini Ahmad, 34, agar ia 'melekat' di hati pelanggannya.

Ibu kepada empat anak berusia antara setahun empat bulan dan lapan tahun itu berkata beliau mula menceburi bidang perniagaan itu sejak kira-kira empat tahun lepas dengan menjual pizza berbentuk mini yang dibuatnya dari rumah.

"Saya mula membuat pizza mini selepas belajar dengan kakak yang tinggal di Kampung Kok Pasir, Tumpat dan menjualnya secara dalam talian pada 2016 sebelum membuka sebuah bengkel di Kampung Wakaf Simen, Jedok di sini, setahun kemudian.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumit nak buat, kuah pula pekat... fuhhh nikmatnya ‘laksa kola’ Kak Su!

"Ketika berniaga di bengkel itu, saya kemudiannya mengambil langkah berani dengan membuat pizza bersaiz sederhana kira-kira 10 sentimeter dengan mencuba beberapa jenis 'topping'," katanya ketika ditemui di kafenya di Kampung Chedok, Bukit Nangka, Kelantan.

Pelbagai jenis pizza di Pizza Jangok Mek Ani. 

Noraini, yang berasal dari Kampung Bukit Bunga berkata bagi memantapkan kemahiran membuat pizza, beliau kemudiannya memasuki kursus pendek kulinari di Pusat Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Jeli pada 2016.

Usahawan muda yang kini memiliki tujuh pekerja dan turut dibantu suaminya, Nik Nor Suhaimi Ibrahim, 36, itu berkata hasil usahanya dan bantuan kerajaan, beliau kini mampu membuka sebuah kafe yang beroperasi dari Khamis hingga Selasa bermula pukul 12 tengah hari hingga 10 malam sejak Januari tahun lepas.

Noraini berkata setakat ini beliau menghasilkan tujuh jenis pizza iaitu pizza makanan laut, pizza ayam, pizza tuna, pizza daging, pizza tomyam ayam, pizza campuran dan pizza Tora yang menggunakan bebola ayam, dengan harga bermula dari RM17 hingga RM28.

"Saya juga menggunakan keju jenis mozarella agar pelanggan dapat menikmati tarikan keju seperti di francais-francais pizza yang terkenal," katanya.

Pizza yang dihasilkan dibakar dan seterusnya dihidang kepada pelanggan.

Ditanya mengapa memilih nama Pizza Jangok Mek Ani, beliau berkata idea itu timbul selepas menghadiri satu kursuskeusahawanan beberapa tahun lepas.

"Pengajar kursus itu cakap kalau nak orang kenal produk kita, mesti guna satu jenama yang bagus dan nama yang mudah diingati pelanggan, justeru, saya memilih nama Pizza Jangok Mek Ani agar ia mudah 'melekat' dalam ingatan pengunjung yang pernah merasai pizza ini," katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Nurhazieqah Hasanuddin, 21, dari Kampung Jakar di sini, berkata beliau mula menjadi penggemar Pizza Jangok Mek Ani sejak dua tahun lepas.

"Saya paling suka pizza tuna dan pizza makanan laut kerana rasanya yang sedap selain keenakan keju yang digunakan untuk ditabur di atas pizza itu.

Jika ke Tanah Merah jangan lupa singgah ke Pizza Jangok Mek Ani.

"Jika ada kesempatan, saya akan ke kedai ini bagi membeli pizza untuk dimakan bersama keluarga," katanya.

Seorang lagi pelanggan, Nik Nur Alia Fatin Ibrahim, 20, yang berasal dari Kampung Chedok di sini, berkata beliau amat menggemari pizza Tora kerana menggunakan keju yang banyak.

"Selain itu, saya juga suka pizza Tora kerana ia menggunakan bebola ayam dan ia lain dari yang lain," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain