suria

Bukan sekadar bandar universiti... Ketahui 10 perkara menarik mengenai Oxford

Seni bina Christ Church di Oxford cukup menggagumkan.

JIKA melancong ke England, ramai daripada kita pasti akan memilih London, Liverpool atau Manchaster yang lebih terkenal berbanding lokasi lain di negara itu.

Ini termasuklah Oxford yang terletak di Oxfordshire, Tenggara England kerana ramai menyangka ia hanyalah sekadar sebuah bandar yang menempatkan universiti tersohor dunia, University of Oxford.

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir jadi mangsa ragut tak rosakkan percutian 4 sahabat di kota cinta Paris

ARTIKEL BERKAITAN: Jika kota London dalam bucket list anda, apa kata semak dulu 10 tip ini

Sebenarnya terdapat pelbagai lokasi dan perkara menarik di Oxford termasuklah landskap dan bangunannya yang masih mengekalkan seni bina kurun ke-18, namun masih utuh dan memberi pesona tersendiri.

Malah jangan tak tahu, Oxford juga adalah lokasi komunikasi bahasa Inggeris tertua di dunia!

Penulis bergambar di University of Oxford. 

Peluang penulis berkunjung ke Oxford bagi membentangkan kertas kerja penyelidikan bersama sahabat Dr. Abdul Halim Ridzuan dan peluang itu turut dijadikan alasan untuk menerokai bandar tersebut.

Kenalan baik kami, Profesor Madya Dr. Mohammed Hariri Bakri yang juga merupakan Fellow di Oxford Centre for Islamic Studies, University of Oxford banyak membantu sepanjang kami berada di sana.

Jika ada yang memasang impian untuk ke Oxford, apa kata semak dulu beberapa perkara menarik tentang bandar ini;

1. Fakta sejarah

Oxford terletak di Oxfordshire yang mengambil masa dua jam perjalanan dari Lapangan Terbang Heathrow jika menaiki bas.

Dianggarkan seramai 165,000 menetap di bandar itu, manakala 151,000 orang tinggal di antara sempadan daerah di mana Sungai Cherwell dan Sungai Thames yang merentas Oxford.

Bangunan ikonik Radcliffe Camera.

Oxford kaya dengan pelbagai sejarah termasuk menerusi seni bina bangunannya seperti Radcliffe Camera yang dibina pada pertengahan abad ke-18.

2. University of Oxford boleh dilawati

Oxford adalah sebuah bandar universiti dan rugi jika tidak mengambil peluang untuk melawat sekitar kawasan pusat pengajian tinggi yang dilengkapi 39 kolej itu.

Antara kolej yang patut dilawati termasuk All Souls, Magdalen, St. Cross dan St. Edmun Hall selain Said Business School. Ia dibuka kepada umum pada pukul 2 petang setiap hari.

3. Bodleian Library, Oxford Botanic Garden harus dikunjungi!

Terdapat banyak tempat menarik dan unik di sekitar Oxford termasuklah University Church of St. Mary the Virgin, Christ Church Cathedral, Blackwell's Bookshop, Bodleian Library dan Oxford Botanic Garden.

Keindahan seni bina dan lanskap pasti membuatkan gambar yang bakal dimuat naik di laman sosial kelihatan mengagumkan.

Gambar kenangan penulis di Oxford. 

4. Jangan risau tentang makanan halal

Buat bakal pengunjung, usah bimbang tentang makanan halal kerana ia mudah didapati di sekitar Oxford termasuk restoran masakan Timur Tengah.

Jika ada yang teringin hendak makan fast food seperti KFC dan Nandos - terus ke Cowley Road kerana ia cawangan yang hanya menyediakan makanan halal.

5. Syurga beli belah!

Buat kaki shopping, Oxford bukan sahaja kaya dengan seni bina dan landskap tetapi terdapat pelbagai kedai cenderamata yang unik - pilihan penulis sudah tentu di The University of Oxford Shop serta Flaggs kerana harganya berpatutan.

Bagi yang ingin membuat pembelian berhemat, Primark dan Westgate mempunyai pelbagai barangan termasuk wangian, alat solek serta pakaian yang wajib dibeli untuk diri sendiri serta hadiah buat keluarga serta kenalan.

6. Kemudahan pengangkutan efisien

Jika ingin ke Oxford dari London, anda boleh menggunakan perkhidmatan bas seperti Oxford Tube atau pun X90. Paling best terdapat akses wifi percuma serta soket mengecas telefon.

Bersama rakan penulis.

Kemudahan pengangkutan awam di Oxford juga tidak kurang hebat malah perkhidmatan teksi sangat mudah selain harganya yang berpatutan.

Namun rugi rasanya kalau naik teksi dan lebih baik berjalan kaki kerana anda tidak akan jemu dengan pemandangan di sekeliling.

7. Penginapan

Tak usah risau tentang penginapan kerana terdapat pelbagai hotel atau hostel mengikut bajet anda seperti Old Bank Hotel, Vanbrugh House Hotel, Remont Oxford Hotel dan lain lagi. Atau tempah sahaja Airbnb.

8. Musim bunga, luruh waktu terbaik lawat Oxford

Seperti kebanyakan bandar di United Kingdom, cuaca boleh menjadi tidak menentu. Jadi dinasihatkan agar anda melihat ramalan cuaca sebelum memulakan penggembaraan anda.

Paling baik lawat Oxford pada musim bunga sekitar Mac hingga Mei atau musim luruh (September hingga November).

9. Masyarakat murah senyuman

Masyarakat di sekitar Oxford sama seperti di kebanyakan bandar di sekitar United Kingdom, amat ramah dan murah dengan senyuman. Justeru, jangan berat mulut untuk bertanya sekiranya ingin meminta bantuan atau sebagai penunjuk arah.

10. Kemudahan solat

Untuk pengembara Muslim, jangan gusar kerana banyak kemudahan solat yang terdapat di sini seperti di OUISoc yang terletak di Robert Hooke. Komuniti Muslim di sini juga sangat peramah malah mengalu-alukan pelancong dari luar negara.

Artikel Lain