Jom saksikan Aquacadabra! Aksi silap mata pertama dalam air di Aquaria KLCC - Destinasi | mStar

Jom saksikan Aquacadabra! Aksi silap mata pertama dalam air di Aquaria KLCC

Alex Tee (kiri) dan Desmond Ng (tengah) bersama salah seorang pengunjung sewaktu preview Aquacadabra, baru-baru ini. FOTO: NURAFIFI EHSAN

JIKA anda mencari kelainan sempena cuti sekolah dan sambutan Krismas tahun ini, Aquaria KLCC adalah lokasi yang tepat untuk dikunjungi.

Bukan sahaja dapat melihat hidupan aquatik, malah anda juga bakal dihiburkan dengan persembahan silap mata dalam air yang digelar sebagai Aquacadabra.

Bakal berlangsung secara eksklusif pada 25, 29 dan 30 Disember ini, Aquacadabra dipersembahkan oleh ahli silap mata tempatan, The MADgicians.

Lebih hebat, ia turut tersenarai dalam Malaysia Book of Records sebagai aksi silap mata pertama dalam air di negara ini.

Ia sekaligus menjadi rekod keenam Aquaria KLCC sejak ia mula dibuka pada 2004.

Sementera itu, ahli The MADgicians, Alex Tee berkata, banyak aksi menarik yang bakal disajikan kepada penonton menerusi Aquacadabra.

Aquacadabra turut tercatat dalam Malaysia Book of Record sebagai aksi silap mata pertama dalam air.

"Kami mengambil helah silap mata yang sedia ada dan cuba adaptasi dengan situasi dalam air. Ia sememangnya sangat mencabar.

"Pergerakan juga menjadi lebih perlahan dalam air, jadi kami banyak buat persediaan bagi memastikan semua helah silap mata menjadi dan dapat menghiburkan penonton selama tiga hari," ujarnya.

Selain Alex yang mengendalikan penonton di luar tangki, seorang lagi sahabatnya, Desmond Ng pula akan membuat silap mata di dalam air.

Malah, Alex dan Desmond juga akan berinteraksi dengan penonton bagi membolehkan mereka menjadi sebahagian daripada persembahan itu.

Selain Aquacadabra, pengunjung juga berpeluang menyaksikan lebih 5,000 hidupan akuatik di situ.

"Apabila Desmond berada di dalam tangki aquarium besar itu, dia memang tak boleh dengar apa-apa. Jadi saya yang akan berkomunikasi dengan penonton.

"Kami tak boleh bagi tahu apa yang bakal disajikan kepada penonton kelak, banyak yang menarik. Yang penting kena datang tengok dan alami sendiri pengalaman silap mata dalam air," kata Alex lagi.

Bagi mereka yang berminat untuk menyaksikan Aquacadabra, tiket masuk bermula pada harga RM46 (dewasa) dan RM37 (kanak-kanak).

Bagi bukan pemegang MyKad, tiket untuk dewasa berjumlah RM65 dan RM56 (kanak-kanak).

Selain pertunjukan Aquacadabra, pengunjung juga boleh menjelajah tarikan seluas 60,000 kaki itu yang menempatkan lebih 5,000 hidupan aquatik termasuk jerung dan macam-macam lagi.

Aquacadabra , Aquaria KLCC , The MADgicians