suria

Tak perlu terbang jauh, makanan istimewa orang Sabah kini ada di Johor

-foto FB Viral Muafakat Johor

WARGA Johor yang meminati sajian Sabah, berpeluang menikmati juadah istimewa itu di Pasar Muafakat Sabah@ Johor, di sini menawarkan pelbagai menu daripada pencuci mulut hingga makanan laut yang terkenal di Negeri di Bawah Bayu itu.

Antara yang menjadi tarikan untuk menu berbuka adalah tehe-tehe (landak laut), sianglag, bianban, piutu dan kinilau (ikan peram mangga) yang amat digemari warga Sabah yang merindui masakan kampung halaman terutama mereka yang telah bermastautin di negeri 'Harimau Selatan' ini.

Menurut peniaga makanan, Zahti Salih, 46, agar-agar laut yang dijualnya dibawa khas dari Kota Kinabalu berikutan ketiadaan bahan berkenaan di Semenanjung.

"Biasanya, kami beli pukal dan terbangkan terus dari Kota Kinabalu ke sini sebab kos penghantaran dari Kota Kinabalu lebih murah jika dibandingkan dari Semporna.

"Cara memasak agar-agar mudah, biasanya ia hanya perlu direndam kemudian direbus bagi menghilangkan bau dan rasa laut," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pasar berkenaan.

Selain agar-agar laut, ‘kinilau' atau ikan peram mangga juga menjadi tumpuan pembeli juadah berbuka di Pasar Muafakat Sabah.

Seperti kerabu mangga, ia diperbuat daripada hirisan isi ikan yang diperam bersama cuka, potongan mangga halus, bawang, cili, gula dan garam secukup rasa.

Peniaga Najir Mucer, 43, yang menjual makanan berasaskan ubi seperti sianglag, bianban dan piutu, berkata beliau terpaksa menyediakan bahan jualannya dari pagi berikutan proses memasak dan melenyek ubi yang memakan masa.

"Bianban adalah ubi yang direbus sampai masak, dilenyek dan dibalut dalam kulit pisang.

"Sianglag dan piutu juga menggunakan ubi rebus yang dimasak bersama kelapa parut tetapi bezanya sianglag berbentuk seperti nasi kepal dan piutu seperti sosej panjang yang dibungkus dengan plastik,” jelasnya.

Faiza Limpalan, 43, berkata sajian pencuci mulut buko salad yang dijualnya merupakan juadah berbuka yang seringkali dicari-cari oleh pembeli di gerainya.

"Bahan-bahan yang digunakan adalah isi kelapa muda yang diparut dengan tangan, buah-buahan tin dan keju. Ia sesuai dihidangkan sejuk dan rasanya manis.

"Buko salad yang saya jual ini pernah tular di media sosial dan alhamdulillah sambutan yang saya terima sehingga hari ini memberansangkan,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain