suria

Apa Tarikan Musim Panas Di Taiwan?

Rombongan kami bersama penyanyi dan cef Datuk Fazley Yaakob melawat Yehliu Geopark.

MUSIM panas di Taiwan sebenarnya tidak banyak bezanya dengan Malaysia, namun kesempatan untuk meneroka negara empat musim itu sedikit sebanyak memberi pengalaman baharu kepada penulis.

Lima hari mengikuti trip media Teroka Halal Di Taiwan bersama cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob memberi peluang kepada penulis melihat sendiri gaya hidup dan tempat-tempat menarik di sana, selain makanan serta kemudahan yang yang disediakan berkonsepkan mesra muslim.

Suhu 34°C ketika musim panas di Taiwan.

Sepanjang musim panas, suhu di Taipei mencecah 34°C dan ia tidak banyak berbeza dengan Malaysia. Bagaimanapun, seawal pukul 5 pagi suasana persekitaran sudah cerah, manakala gelap malamnya muncul sekitar pukul 7 malam.

Kami bertolak ke Taiwan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira pukul 4 petang dan selamat sampai pada pukul 8 malam dengan penerbangan Eva Airways yang mengambil masa selama empat jam.

Kumpulan media menikmati hidangan stimbot di Restoran Tea & Amp: Rice Resort. FOTO SHAHRUL IZZAT

Ternyata jadual begitu padat kerana banyak yang ingin ditampilkan dalam usaha mempromosi Taiwan sebagai destinasi pelancongan khususnya untuk pengunjung beragama Islam.

Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan dengan disambut pemandu pelancong bernama Rita yang ramah dan petah berbahasa Inggeris, perjalanan menerokai Taiwan bermula dengan melawat kawasan tarikan pelancong di Yehliu Geopark iaitu antara lokasi terindah yang mana terdapat kira-kira 20 bentuk batu karang di pesisir pantai yang terletak di daerah Wanli.

Yehliu Georpark antara lokasi menarik di Taiwan.

Ia terhasil daripada pukulan gelombang air laut, angin dan cuaca serta pergeseran kerak bumi.

Rupa bentuk batu karang di sini dipangil kepala permaisuri, harimau bintang, batu cendawan dan kepala naga kerana dikatakan mirip bentuk tersebut.

Semangkuk stimbot untuk seorang pelanggan berharga kira-kira RM35

Kemudian kami dibawa menikmati makanan tengah hari di sebuah restoran halal iaitu Restoran Tea & Amp; Rice Resort di Yilan.

Restoran ini menyediakan stimbot berasaskan makanan laut dan sayur-sayuran segar yang ditambah keenakannya dengan pelbagai sos yang mampu membuka selera.

Selain itu, restoran berkenaan juga menyediakan ruang solat dan bilik air yang sesuai untuk berwuduk.

Pada sebelah petang, kami dibawa ke Shangrila Leisure Farm di Yilan yang terletak di kawasan pergunungan. Pihak hotel turut membawa kami berjalan di sekitar kawasan melihat pokok-pokok yang berusia lebih 500 tahun.

Kami diberi peluang membuat kuih apam beras yang menjadi salah satu makanan kegemaran masyarakat Taiwan.

Malah, mereka turut menanam sendiri sayur-sayuran dan buah-buahan di sekitar kawasan hotel berkenaan.

Keesokkannya, rombongan yang disertai sembilan rakan media dibawa ke Pameran Kulinari Taiwan 2017 di Pusat Dagangan Antarabangsa Taiwan yang turut memperkenalkan Fazley sebagai Duta Halal negara itu.

Pameran tersebut menampilkan lebih 100 jenis makanan popular di negara berkenaan.

Kami dibawa berjalan-jalan sekitar bandar Taipei.

Seterusnya, kami dibawa bersiar-siar sekitar bandar Taipei dengan menaiki bas dua tingkat dan Transit Aliran Masa (MRT) bagi meninjau ibu kota Taiwan.

Pada sebelah malamnya, kami menikmati hidangan di sebuah restoran popular iaitu Restoran Yunus di Pei Ning, Taipei.

Restoran ini menghidangkan masakan ala Thailand antaranya ikan stim, telur dadar, tom yam seafood dan ikan goreng.

Antara makanan di restoran halal di Taipei.

Pukul pukul 10 malam pula, kami terus ke Hotel Palais de Chine yang terletak di pusat bandar Taipei. Hotel bertaraf lima bintang ini memberi layanan dan perkhidmatan yang memuaskan.

Malahan, sebaik melangkah masuk ke bilik 1107, senaskhah Al-Quran dan sejadah beserta arah kiblat sudah siap sedia di meja.

Hotel tersebut juga menyediakan telefon bimbit untuk kemudahan pengunjung terutama dari luar negara untuk mendapatkan khidmat internet ketika berada di luar.

Kami dibawa melawat Taman Tema Leofoo.

Pada hari keempat, seawal pukul 8 pagi kami bertolak ke Taman Tema Leofoo yang terletak di Hsinchu. Perjalanan mengambil masa kira-kira 90 minit.

Kami menghabiskan masa kira-kira lima jam termasuk meninjau kawasan haiwan menjadi salah satu daya tarikan Taiwan.

Pasar malam Shilin menawarkan pelbagai cenderahati menarik untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Kira-kira pukul 3 petang, rombongan kami bertolak semula ke Taipei. Sebelah malam pula singgah di pasar malam popular Shilin Night Market yang menjual pelbagai cenderahati untuk di bawa pulang sebagai kenang-kenangan.

Hari kelima kira-kira pukul 6 .30 pagi kami bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan dan selamat sampai ke KLIA pada pukul 2.30 petang.

Kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan.

Antara tips yang boleh dikongsi kepada yang ingin melancong di Taiwan:

1. Sediakan baju yang sesuai dengan musim kerana jika musim panas, ia lebih panas dari Malaysia.

2. Sentiasa bawa bekalan air untuk diminum dan kegunaan ketika membuang air kecil atau besar. Kebanyakkan tandas di sana tidak menyediakan air.

3. Tidak perlu membeli sim kad untuk menghubungi antara satu sama lain berikutan perkhidmatan wifi ada di mana-mana termasuk di dalam pengangkutan awam.

4. Belajar beberapa perkataan penting seperti nombor kerana ia memudahkan komunikasi terutama yang melibatkan wang.

5. Membeli Easy Card supaya senang untuk membuat sebarang pembelian tanpa menggunakan wang tunai. Easy Card seperti kad touch and go, namun ia boleh digunakan di setiap pasaraya dan MRT.

6. Siap sedia makanan jika anda lapar pada malam hari kerana sukar untuk mencari kedai yang buka 24 jam.

Taiwan

Artikel Lain