suria

'Sharapova memang ditakdirkan untuk tenis'

SHARAPOVA memuji tindakan Naomi Osaka atas keberaniannya bercakap tentang isu kesihatan mental. — Agensi

BEKAS pemain tenis wanita nombor satu dunia, Maria Sharapova disifatkan sebagai seorang yang telah ditakdirkan untuk sukan tersebut sejak dia kecil.

Kenyataan itu dikongsi oleh jurulatih tenis terkenal, Nick Bollettieri yang menyifatkan Sharapova yang bersara pada awal musim 2020 benar-benar komited dan berdedikasi untuk latihan.

Kata Bollettieri, Sharapova yang memenangi lima gelaran kejohanan tenis Grand Slams sepanjang kariernya menyertai akademi miliknya di Florida pada usia 8 tahun.

“Pada umur 11 atau 12 tahun dia beraksi sendiri di gelanggang, dia tidak pernah berputus asa dan sentiasa bersemangat setiap kali menjalani latihan.

"Sharapova tidak suka membuang masa dan dia tidak pernah puas walaupun sudah menjadi juara berulang kali," katanya.

Tambahnya lagi, perkara sama turut dilihat pada pasangan adik-beradik Williams.

Jelas Bollettieri, semangat itu yang menjadikan Sharapova dan ramai pemain tenis terbaik dunia dominan dalam eranya untuk tempoh masa yang lama.

Sementara itu, Sharapova memuji tindakan pemain tenis Jepun, Naomi Osaka atas keberaniannya bercakap tentang isu kesihatan mental kerana dia yakin bahawa wanita itu adalah orang yang baik.

"Kita semua sangat perlu menyokong atlet yang melalui masa-masa sukar dalam karier mereka.

"Naomi adalah atlet yang mempunyai kerjaya yang sangat panjang di hadapannya," ujarnya.

Tambah Sharapova lagi, semua orang harus menghormati keputusan yang dibuat oleh pemain pada masa-masa sukar kerana ketika itu mereka berasa kecewa atau tidak mempamerkan aksi terbaik.

"Sejujurnya, tidak banyak orang tahu apa yang terjadi di sebalik tabir dan bagaimana perasaan pemain.

"Anda hanya melihat permainan tenis dan apa yang berlaku di gelanggang. Semakin banyak sokongan yang dapat kami berikan, mereka akan semakin bersemangat untuk menampilkan yang terbaik," kongsi Sharapova.— Agensi

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain