suria

Sukan tanah air sunyi tanpa bola sepak, kapten Perak harap aksi Liga-M kembali lebih awal demi tahap kecergasan terbaik pemain

Shahrul (tengah) berharap Liga Malaysia kembali disambung lebih awal.

KETIADAAN aksi bola sepak sejak Mac lalu menjadikan arena sukan tanah air lebih sunyi berikutan penularan wabak Covid-19 sejak Mac lalu.

Penangguhan aksi bola sepak ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, sebaliknya seluruh liga dunia turut terhenti gara-gara wabak yang membunuh ratusan ribu nyawa di seluruh dunia.

Bagaimanapun, situasi kini semakin baik dan sesetengah liga dunia lain sudah pun kembali beraksi seperti Liga Jerman dan bakal bersambung Liga Sepanyol dan Liga Perdana Inggeris pertengahan bulan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada istilah rehat buat pemain AFFC ini sepanjang PKP - "Bukan tugas jadi cabaran, tapi paling utama masa terhad bersama keluarga"

Harap SOP siap awal

Kapten Perak FA, Shahrul Mohd Saad berharap aktiviti bola sepak termasuk latihan pasukan dapat bermula lebih awal bagi memastikan semua pemain dapat mengembalikan kecergasan di tahap terbaik sebelum saingan Liga Malaysia dijangka bermula pada September ini.

Jelas pemain pertahanan kebangsaan ini, dia percaya bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) akan menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baik bagi membuat permohonanan semula kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya saingan Liga Malaysia kembali bersambung selepas ditangguhkan pada 16 Mac lalu akibat pandemik Covid-19.



Shahrul (tengah) antara pemain penting dalam skuad Harimau Malaya.

"Mahu atau tidak, kita semua harus terima keputusan MKN ketika ini yang masih melarang segala aktiviti bola sepak dan semua ini adalah demi kebaikan semua pihak.

"Tetapi, saya harap MFL akan bersedia dengan SOP yang sepatutnya agar kita dapat buat persiapan secepatnya dan seandainya perlu perubahan, kita semua sudah bersedia dengan perkara itu.

"Saya juga percaya baik FAM dan MFL akan terus bekerja keras bagi memastikan kami dapat beraksi semula kerana sekarang ini situasi sudah berubah dan apa sahaja boleh berlaku," ujar pemain berusia 26 tahun ini.

Teruskan latihan

Biarpun tanpa latihan berpasukan, Shahrul tetap memastikan tahap kecergasannya terjaga dan berada dalam persediaan baik sekiranya aksi liga kembali bersambung.

"Saya akan teruskan latihan macam biasa secara sendirian sekali seminggu. Jurulatih (Mehmet Durakovic) akan pantau perkembangan semua pemain setiap masa," katanya.



Shahrul menghabiskan masa bersama keluarganya sepanjang penangguhan Liga Malaysia.

Dalam pada itu Shahrul mengakui bermain bola sepak sambil perlu mengikuti SOP yang baharu bukanlah mudah. Banyak perkara baharu yang bakal diikuti jika liga kembali bersaing.

Malah lebih penting, SOP yang melibatkan keselamatan pemain diutamakan bagi mengelak penularan Covid-19.

"Dengan adanya SOP permainan yang baharu, ia akan menjadi rutin kebiasaan untuk semua pemain selepas ini bagi bersedia dengan langkah penjagaan lebih teliti."

Selain itu, MFL menerusi Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan, keputusan larangan sebarang aktiviti bola sepak adalah selaras dengan tindakan kerajaan yang memutuskan untuk melanjutkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun ini.

MFL akan sentiasa mengikuti perkembangan dan saranan daripada MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum memberikan kebenaran kepada pemegang taruh Liga M untuk melaksanakan aktiviti bola sepak jika aksi domestik kembali bersambung musim ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain