suria

Tak dapat beraksi, mereka menderma! Lima pemain bola sepak popular dunia teruja sambut Ramadan

Ozil antara pemain bintang dunia yang sentiasa menghulurkan derma kepada pelarian di Turki dan Syria.

BAGI pemain bola sepak Muslim seluruh dunia, sambutan Ramadan kali ini amat berbeza kerana mereka dapat menjalani ibadah ini dengan lancar berikutan tiada perlawanan berlangsung.

Sejak dua bulan lalu, semua liga di seluruh dunia ditangguh berikutan penularan pandemik Covid-19 yang telah meragut banyak nyawa keseluruhannya.

Berdasarkan jadual liga bola sepak Eropah, tempoh sekarang ini adalah waktu kemuncak beberapa siri perlawanan termasuk Liga Perdana Inggeris, Serie A, Bundesliga, Liga Juara-Juara dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Krisis Covid-19 ukir pengalaman berharga buat pemain Melawati FC - “Suasana cukup lain daripada lain... ia penerbangan paling tidak saya lupakan”

Namun demi keselamatan nyawa dan mengelak daripada dijangkiti wabak ini, semua pemain kini berada di rumah menjalani kuarantin dan hanya menjalani latihan ringan sendiri.

Beberapa pemain terkenal dunia turut berkongsi ucapan sempena sambutan Ramadan di Instagram masing-masing.

Antara pemain bintang yang beragama Islam yang turut menyambut kedatangan bulan Ramadan ini:



Ozil memuatnaik status kedatangan Ramadan di Instagramnya.

  1. Mesut Ozil
Pemain berusia 31 tahun ini antara prospek penting dalam skuad The Gunners. Bekas pemain kebangsaan Jerman ini antara yang terawal berkongsi kegembiraan sambutan Ramadan kepada peminat-peminatnya di laman Instragramnya yang mempunyai 21.9 juta pengikut. Selain itu Ozil juga terkenal dengan sikap dermawannya dalam membantu memberi sumbangan kepada 100,000 orang yang kehilangan tempat tinggal di 16 kem pelarian di Turki dan Syria.
  1. Mohamad Salah
Pemain Mesir berusia 27 tahun ini mempunyai 38 juta pengikut merupakan pemain beragama Islam yang paling dihormati oleh peminat-peminatnya. Malah Salah yang merupakan bintang Liverpool dilaporkan mendermakan makanan dan daging segar untuk membantu keluarga di bandar kelahirannya, Nagrig, Mesir yang terkesan akibat wabak ini. Difahamkan derma disumbangkan Salah bernilai sekitar RM2.2 juta.



Salah membuat persediaan menyambut kedatangan Ramadan di rumahnya.

  1. Paul Pogba
Penyerang Manchester United ini sering menjadi tumpuan apabila katibaan bulan Ramadan atau sambutan Aidilfitri. Pemain kebangsaan Perancis berusia 27 tahun ini turut berkongsi sekeping gambar di Instagramnya bersama beberapa rakan bola sepaknya berada di Makkah sebagai ucapan sambutan Ramadan kepada seluruh masyarakat Muslim. Pogba mempunyai 40.8 juta pengikut.



Pogba bersama kawan-kawannya di Makkah sebelum ini.

  1. Franck Ribery
Bagi penyokong bola sepak tegar, nama Ribery sememangnya tidak asing lagi, lebih-lebih lagi ketika kelibatnya sepanjang bersama pasukan Perancis (2004-2016). Malah pemain sayap ini dianggap sebagai pemain legenda Bayern Munich (2007-2019). Kini pemain berusia 37 tahun ini beraksi bersama kelab Florentina. Ribery turut memuatnaik ucapan Ramadan di Instagramnya yang mempunyai 5.3 juta pengikut.



Ribery turut memuatnaik status sambutan Ramadan di Instagramnya.

  1. Sadio Mane
Penyerang berbisa Liverpool dan Senegal ini antara salah seorang pemain beragama Islam di Anfield. Mane dilihat sebagai pemain yang mempunyai pegangan agama yang kuat dan dalam satu sesi temubual, Mane mengatakan dirinya tidak pernah menyentuh alkohol, sesuatu yang sememangnya diharamkan oleh Islam. Dia juga mengakui menunaikan solat lima waktu. Baginya, Islam adalah sesuatu yang penting. Mane merupakan anak lelaki buat seorang imam masjid di Bambali, sebuah kota kecil di Senegal. Mane, 28, mempunyai 7.1 juta pengikut di laman Instragramnya.

Pemain, Dunia, Puasa, Ramadan, Salah, Mane, Ribery

Artikel Lain