suria

MOM, KBS bincang tawaran penganjuran Sukan Komanwel 2026 beserta dana RM602 juta

Malaysia pernah menganjurkan Sukan Komanwel pada 1998 di Stadium Bukit Jalil. -Gambar The Star

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) sudah memulakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mempertimbangkan tawaran sebagai penganjur Sukan Komanwel 2026.

Tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) itu dibuat kepada MOM dan Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia pada bulan lalu selepas Victoria menarik diri.

Malaysia juga diberi suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) bagi melaksanakannya.

Menurut Presiden CGA Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, pihak kerajaan harus mempertimbangkan tawaran ‘sekali dalam seumur hidup ini’ yang akan membina kejayaan Kuala Lumpur 1998 dan kembali meletakkan Malaysia di peta sukan dunia.

“CGA Malaysia dan CGF sudah berbincang berhubung peluang buat Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026. Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel adalah pada 1998.

“Oleh itu, CGA Malaysia berpendapat bahawa Kerajaan Malaysia harus mempertimbangkan peluang sekali seumur hidup ini – beserta sokongan dan pelaburan berkaitan – yang akan membina kejayaan Kuala Lumpur 1998 dan meletakkan Malaysia kembali berada di peta sukan dunia.

“Dengan fasiliti berkelas dunia sedia ada, Malaysia serba lengkap untuk menjadi tuan rumah temasya antarabangsa Komanwel yang membabitkan 74 negara Komanwel dan wilayahnya. Penganjuran akan membabitkan perbelanjaan kerajaan yang minimum dan membawa faedah sosio-ekonomi ketara kepada negara.

“Ia juga bakal meningkatkan taraf sukan Malaysia seperti apa yang berlaku selepas temasya 1998. Untuk tujuan itu, CGF dan CGA Malaysia sudah menawarkan cadangan yang menarik kepada kerajaan Malaysia,” kata Norza dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya sedang menyediakan kertas Kabinet, meliputi hasil kajian mengenai pelbagai aspek penganjuran sukan itu untuk diserahkan kepada Jemaah Menteri, bagi membuat sebarang keputusan.

Victoria menarik diri sebagai tuan rumah bagi edisi ke-23 itu atas alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta (RM1.18 bilion) kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac, 2026.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel adalah pada 1998 dan perkembangan terbaharu ini membuka ruang buat Malaysia untuk tampil lagi selaku tuan rumah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain