suria

Terengganu hilang atlet prospek Sukma, Wan Muhammad Haikal meninggal dunia akibat disepak

Pasukan perubatan sentiasa berusaha keras membantu pesakit. -Gambar hiasan

ATLET prospek pesilat Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 21, meninggal dunia selepas ditendang oleh lawannya ketika pertarungan dalam satu kejohanan di Seremban, Negeri Sembilan.

Wan Muhammad yang menyertai pertandingan silat di Balai Raya Coral Height Park di Seremban pada petang Sabtu (2 Mac), rebah dan pengsan selepas disepak sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.20 pagi Ahad di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Bibi Aishah Golbal Shah memberitahu, kakitangan kejohanan dan petugas perubatan memberikan pertolongan cemas dan bantuan pernafasan sehingga ambulans tiba untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Bibi Aishah berkata, pihak hospital memaklumkan kepada pasukan bahawa Wan Muhammad meninggal dunia pada 1.20 pagi Ahad dan jenazahnya dibawa ke Kampung Alur Selising, Jertih, Terengganu untuk dikebumikan pada pagi Ahad.

Beliau berkata kejohanan yang dijadualkan bermula Jumaat (1 Mac) hingga Ahad itu adalah untuk memilih peserta dari 12 negeri untuk mengambil bahagian dalam Sukma (Sukan Malaysia).

"Kami telah membatalkan semua perlawanan pada hari Ahad," katanya.

Kakak sulung Wan Muhammad Haijal, Wan Nor Haslinda berkata, kejadian itu dimaklumkan kepada pihak keluarga kira-kira pukul 5.30 petang.

“Jurulatih menghubungi bapa saya memaklumkan Wan Muhammad terpaksa dikejarkan ke hospital,” katanya.

Katanya, Wan Muhammad merupakan anak keempat daripada lima beradik. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain