suria

Terima khabar duka sebelum perlawanan, Rashford dedikasi gol buat sepupu

Marcus Rashford berkongsi hantaran di laman sosialnya. -Gambar IG marcusrashford

BINTANG Manchester United, Marcus Rashford mendedikasikan golnya menentang Everton buat sepupunya yang meninggal dunia, baru-baru ini.

Pemain bola sepak itu menjaringkan gol kedua dalam kemenangan 3-0 United di Goodison Park hujung minggu lalu dan kemudian berkongsi penghormatan yang menyentuh hati di laman sosial miliknya.

Rashford memuat naik gambar dirinya mendongak ke langit dalam meraikan gol tersebut, dengan kapsyen: "Saya ingin mendedikasikan gol semalam kepada sepupu saya yang baru meninggal dunia."

Gol itu membantu United memperoleh ketiga-tiga matanya, melonjakkan pasukan ke tangga keenam dalam Liga Perdana, hanya empat mata di belakang empat teratas.

Bruno Fernandes yang membenarkan Rashford mengambil sepakan penalti, berkata dia merasakan Rashford 'memerlukan sedikit keyakinan'.

Selepas perlawanan, Fernandes memberitahu Sky Sports: "Saya merasakan Marcus memerlukan gol. Marcus juga seorang penentu penalti yang sangat baik."

Dia menambah: "Saya 100 peratus pasti dia boleh menjaringkan penalti. Ini bukan tentang siapa yang mengambilnya, ia mengenai menjaringkan penalti dan Marcus melakukannya dengan sempurna.

"Jelas sekali penyerang, pemain sayap, mereka mahu menjaringkan gol, mereka perlu menjaringkan gol, itu sebahagian daripada permainan mereka dan ia memberi anda rangsangan.

"Selepas penalti, Marcus tidak dapat dihalang dia boleh menentang semua orang. Saya fikir kadangkala anda memerlukan peluang ini untuk mendapatkan keyakinan kembali. Marcus telah buktikan kehebatannya," katanya lagi. - Daily Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain