suria

PETRONAS raikan ulang tahun ke-20 bersama Cub Prix Malaysia

Cub Prix mendapat sokongan penuh PETRONAS, terus menggamatkan Dataran Seri Jempol.

TAHUN 2023 menyaksikan genap 20 tahun PETRONAS menyokong penuh permotoran tanah air menerusi Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Sejak 2003, Cub Prix mula mengorak langkah ke suatu tahap penganjuran yang lebih profesional dari semasa ke semasa dengan sokongan padu daripada pihak PETRONAS.

Sokongan padu bukan sahaja dari segi pengurusan, malah dari sudut teknikal dan teknologi terkini yang diguna pakai dalam menganjurkan perlumbaan dua roda berprestij di negara ini.

Memang tidak dapat disangkal, kehadiran PETRONAS dalam arena Cub Prix ternyata membawa lembaran baharu kepada sukan permotoran negara.

Maka, tidak hairanlah Cub Prix menjadi platform melahirkan ramai pelumba negara yang kemudian mula mengukir nama di persada antarabangsa.

Kehadiran PETRONAS dalam arena Cub Prix membawa lembaran baharu kepada sukan permotoran negara.

Antara pelumba yang mendapat sokongan daripada pihak PETRONAS, seperti Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, Hafizh Syahrin Abdullah, Zulfahmi Khairuddin, Azlan Shah Kamaruzaman, Khairul Idham Pawi, Zaqhwan Zaidi, Kasma Daniel Kasmayudin dan ramai lagi.

Setelah dua pertiga umur penganjuran Cub Prix mendapat sokongan penuh PETRONAS, pusingan kali ini sekali lagi menggamatkan Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan buat kali kesembilan sejak 2013.

Sokongan berterusan PETRONAS inilah yang memastikan siri kejuaraan terulung tanah air dapat terus menjelajah ke seluruh negara khususnya buat peminat-peminat sukan permotoran di kawasan luar bandar seperti Jempol.

Bertemakan 20 Tahun Melakar Impian, siri jelajah perlumbaan ini secara tidak langsung dapat mendekatkan sukan permotoran dengan masyarakat setempat, sekali gus mendedahkan mereka dengan perlumbaan secara profesional.

Jempol yang amat sinonim dengan sukan permotoran sejak wujudnya Litar 'Drag' Jempol pastinya meraih sambutan hangat daripada penduduk setempat setiap kali Cub Prix bertandang ke sini.

Kasma melakarkan kemenangan pertamanya untuk pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

Pusingan 2 siri Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix pada 11-12 Mac lalu menyaksikan persaingan sengit antara pelumba terhebat negara.

Pada pusingan kedua perlumbaan, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix dirangkul oleh Kasma Daniel Kasmayuddin dengan melakarkan kemenangan pertamanya untuk pasukannya PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor di kategori CP150.

Di sesi 'Superpole' yang berlangsung menyaksikan Kasma dari pasukan dengan persembahan yang hebat apabila mencatatkan masa terpantas pada 43’948s.

Sementara itu, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Estremo Team pula mencatatkan masa 44'135s diikuti oleh Md Haziq Md Fairues dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 44'177s.

Menurut Kasma, dia memang bermula lambat dan agak ketinggalan dalam perlumbaan ditambah pula dengan keadaan cuaca yang panas.

"Jentera saya semakin kurang 'power'. Pada masa itu, saya cuba memintas dan mempertahankan 'racing line'.

"Akid dan Azroy juga, 50-50 tadi dan dari segi jentera pun agak berbeza. Akid mempunyai kelebihan dalam 'top speed', maka saya hanya cuba mengekalkan momentum dan fokus kepada 'cornering-to-cornering'.

Tempat kedua dirangkul Md Akid (kiri) dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing.

"Cuaca memang panas dan tayar-tayar pelumba pun terjejas. Kami hanya cuba 'safe-riding' untuk elakkan daripada jatuh dan memang bersyukur untuk perlumbaan ini," katanya lagi.

Dalam perlumbaan tersebut, Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing menduduki tempat kedua dengan catatan masa 14'54:099s.

Manakala, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Estremo Team pula mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 14'54:892s.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain