suria

Kumpulan bersenjata serang pasar raya milik keluarga isteri, mesej untuk Messi cetus tanda tanya

Messi (kanan) bersama isteri, Antonela. foto Reuters

SEKUMPULAN lelaki bersenjata menyerang sebuah pasar raya milik keluarga isteri Lionel Messi iaitu Antonela Roccuzzo.

Serangan berlaku di Rosario, Argentina pada kira-kira 2 pagi Khamis, waktu tempatan.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seorang daripada dua lelaki yang menaiki motosikal, berjalan masuk ke premis dan melepaskan tembakan beberapa kali.

Dilaporkan, sekurang-kurangnya 14 das tembakan dilepaskan di lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Messi raih No.1 senarai 100 pemain bola sepak terbaik, Ronaldo jatuh ke tangga 51

Penyerang berkenaan turut meninggalkan mesej tulisan tangan di lokasi kejadian, selepas siri tembakan dilepaskan.

"Messi. Kami sedang menunggu kamu. Javkin adalah narco (individu yang terlibat dengan aktiviti dadah secara haram). Dia tidak akan menjaga kamu," menurut mesej tersebut.

Sementara itu, media tempatan melaporkan bahawa samseng bola sepak di Argentina yang dikenali sebagai barrabravas mungkin terlibat dalam serangan itu.

Sebuah stesen TV tempatan yang melaporkan mengenai serangan itu mendakwa kemungkinan mesej tersebut bermaksud penjenayah cuba memeras wang daripada pemenang Ballon d'Or sebanyak tujuh kali itu.

Messi memiliki sebuah rumah agam di pinggir Rosario yang dipanggil 'The Fortress', yang dilengkapi dengan pawagam besar, gim dan garaj bawah tanah yang boleh menempatkan 15 kereta.

Pasar raya tersebut milik keluarga Antonela dan difahamkan ia diuruskan oleh salah seorang sepupunya.

Ia dikatakan ditutup sementara susulan insiden serangan. - Mirror

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain