suria

Bayi lelaki Ronaldo meninggal dunia, peminat turut berduka

Ronaldo membuat pengumuman itu menerusi Instagram.

BINTANG bola sepak Cristiano Ronaldo dan pasangannya, Georgina Rodriguez mengumumkan bayi lelaki mereka telah meninggal dunia.

"Dengan rasa sedih yang paling dalam, kami perlu mengumumkan bahawa bayi lelaki kami telah meninggal dunia.

"Ia adalah kesakitan yang paling hebat yang boleh dirasai oleh mana-mana ibu bapa," ujar pasangan itu dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Instagram pada awal pagi Selasa.

Untuk rekod, bintang Manchester United dan Portugal itu pada Oktober lalu mengumumkan bahawa dia dan Rodriguez sedang menanti kelahiran anak kembar.

"Hanya kelahiran bayi perempuan kami memberi kami kekuatan untuk menjalani detik ini dengan sedikit harapan dan kebahagiaan.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat atas semua penjagaan dan sokongan pakar mereka. Kami semua luluh dengan kehilangan ini dan kami memohon privasi pada masa yang sangat sukar ini.

"Bayi lelaki kami, anda adalah malaikat kami. Kami akan sentiasa menyayangi kamu," ujar pasangan itu lagi.

Rata-rata peminat Ronaldo turut menzahirkan rasa duka atas ujian berat yang menimpa pasangan itu.

Anak pertama Ronaldo dengan Rodriguez, Alana Martina, dilahirkan pada November 2017.

Dia juga bapa kepada kembar Eva dan Mateo, yang dilahirkan menerusi ibu tumpang pada Jun 2017.

Ronaldo juga mempunyai seorang lagi anak iaitu Cristiano Jr. yang berusia 11 tahun.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain