suria

Razlan kekal terajui ‘jenama baharu’ RNF MotoGP Racing

SIC dan Petronas membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama mereka berkaitan nama Petronas SRT dalam Kejuaraan MotoGP Dunia pada penghujung musim 2021.

PASUKAN MotoGP negara, Sepang Racing Team (SRT) diberi wajah baharu apabila bakal dikenali sebagai RNF MotoGP Racing bermula musim depan.

Menurut laporan menerusi motogp.com, pasukan itu akan berlumba sebagai pasukan independent (bebas) dan jenama itu akan terus digunapakai sehingga sekurang-kurangnya 2026.

Datuk Razlan Razali akan kekal selaku principal pasukan dan meletakkan harapan mampu tampil lebih baik.

"Ia satu perjalanan yang bergelora untuk kami. Dalam tempoh beberapa bulan ini, kami melakukan usaha untuk set semula, menjenamakan semula dan melancarkan semula sebagai satu pasukan MotoGP yang segar dan lebih kuat.

"Berbekalkan dengan pengalaman yang kami ada dan pelbagai kejayaan pada masa lalu, kami teruja untuk menyertai musim 2022 dengan penyertaan satu pasukan yang lebih kuat,” katanya.

Penjenamaan semula itu berlaku berikutan perpisahan antara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan SRT bulan lepas.

SIC dan Petronas membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama mereka berkaitan nama Petronas SRT dalam Kejuaraan MotoGP Dunia pada penghujung musim 2021.

Ini bermakna RNF MotoGP Racing akan muncul sebagai ‘pasukan satelit baharu’ buat pengeluar, Yamaha.

Razlan turut mengambil peluang untuk berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta (pemegang hak eksklusif pengiklanan dan penyiaran televisyen MotoGP) atas kepercayaan dan keyakinan berterusannya kepadanya.

Sementara itu, Ezpeleta menggambarkan Razlan sebagai seorang individu yang cukup meminat projek ini yang yakin kejayaan akan mampu dihasilkan.

"Razlan menjadi satu aset yang penting untuk keluarga MotoGP sejak beliau bermula di Sepang dan sudah membantu meningkatkan sukan itu di Malaysia serta rantau Asia Tenggara secara amnya,” katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

MotoGP, SRT, RNF, razlan razali, dorna sports

Artikel Berikut

Artikel Lain