suria

F1: Turki dikeluarkan dari senarai negara merah Britain

GRAND Prix Turki akan berlangsung pada minggu kedua bulan Oktober di litar lumba Formula 1, Istanbul Park.— THE STAR

KEJOHANAN Grand Prix Turki sudah boleh dianjurkan dengan lancar selepas kerajaan Britain mengeluarkan negara itu daripada senarai merah negara-negara dilawati bermula 4 Oktober depan.

Grand Prix Turki akan berlangsung pada minggu kedua bulan Oktober di litar lumba Formula 1, Istanbul Park.

Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali memberitahu pihaknya menerima baik keputusan itu da tetap yakin bahawa acara tersebut akhirnya dapat diteruskan seperti yang dirancang.

"Kita berharap bahawa tidak akan ada situasi lain yang akan menjadikan keadaan lebih kritikal, tetapi setakat ini, hal itu disahkan.

"Kami juga memantau situasi, tentu saja, kami sangat berharap keadaan akan bertambah baik," katanya.

Tambahnya lagi, dia juga gembira dengan penjualan tiket di Turki yang memberangsangkan.

Pengeluaran Turki dari senarai merah membolehkan tujuh daripada 10 pasukan Formula 1 yang berpusat di England untuk ke negara itu tanpa melalui prosedur operasi standard yang ketat.

Bagi negara yang dikeluarkan dari senarai merah Britain, individu yang melancong ke negara berkenaan tidak perlu menjalani kuarantin selama 10 hari ketika mereka kembali.

Pasukan-pasukan Formula 1 di England telah merancang untuk menambah jumlah kakitangan ke Turki jika negara itu masih kekal dalam senarai merah kerajaan Britain.

Rancangan itu bertujuan bagi membolehkan pasukan bersiap sedia untuk Grand Prix Amerika Syarikat di Austin yang akan berlangsung dua minggu selepas Turki.

Seperti yang terjadi pada musim lalu, Istanbul Park merupakan lokasi kejohanan yang ditambah dalam kalendar 2021, menggantikan Grand Prix Kanada yang dibatalkan akibat pandemik Covid-19. — Agensi

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

F1, Grand Prix, Turki, Britain, Covid-19

Artikel Berkaitan

Artikel Lain