suria

Razlan yakin dengan kemampuan CEO baharu SIC

Kontrak Razlan bersama SIC berakhir bulan ini selepas memegangnya lebih 10 tahun.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali, yang tempoh jawatannya tamat semalam, melahirkan keyakinan bahawa pengganti beliau, Azhan Shafriman Hanif, akan menjulang SIC ke tahap lebih tinggi.

Razlan berkata beliau gembira melihat pelbagai penambahbaikan besar dalam SIC sejak memegang jawatan itu pada 8 Ogos 2008, termasuk pelaksanaan Pelan Induk lima tahun bagi sirkit tersebut pada 2014.Pelan yang digariskan Razlan itu menyaksikan SIC menukar litar itu kepada fasiliti pelbagai fungsi yang berjaya menarik kunjungan berulang sepanjang tahun.

Beliau turut memainkan peranan besar dalam mempromosi pelumba berbakat Malaysia di pentas dunia seperti Zulfahmi Khairuddin selain mewujudkan saluran yang kukuh bagi pembangunan sukan permotoran Malaysia termasuk MiniGP SIC, Piala Bakat Asia dan juga Kejohanan CEV Sepanyol.

“Dengan mengambil peranan sebagai prinsipal Pasukan Perlumbaan Petronas Sepang secara sepenuh masa, saya boleh memberikan tumpuan penuh kepada tanggungjawab yang dipikul.

“Saya berharap dapat memperkukuhkan pengaktifan dan penglibatan bersama rakan kongsi, menarik syarikat baharu menyertai kami, menambah baik fungsi pasukan sebagai platform untuk rakyat Malaysia bertanding dalam MotoGP dan memperkukuh tadbir urus korporat pasukan,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Perlumbaan Petronas Sprinta Sepang.

Razlan yang memulakan pembentukan pasukan itu turut mendedahkan beliau telah mencapai impiannya selepas dilantik sebagai CEO SIC pada 2008, sambil menambah bahawa menguruskan pasukan bagi kejohanan bertaraf dunia memberikan lebih banyak keterujaan dalam kerjaya pengurusan sukan permotoran.

“Saya tidak akan mensia-siakan peluang ini untuk membanggakan Malaysia, untuk melihat rakyat Malaysia mempamerkan aksi yang hebat dalam pasukan kami dan menjulang nama Malaysia di seluruh dunia, mengibarkan Jalur Gemilang di tempat yang tinggi sebagai duta bagi Malaysia dalam sukan perlumbaan permotoran dua roda,” katanya.

SIC mengumumkan pelantikan Azhan Shafriman, yang merupakan bekas Ketua Perikatan Strategik di Jabatan Penjenamaan Petronas sebagai CEO SIC baharu, berkuat kuasa pada Rabu.

Razlan Razali, CEO, SIC, Azhan Shafriman

Artikel Lain