suria

Perlawanan La Liga mungkin diadakan setiap 72 jam sebaik liga bersambung pada 29 Mei

Tebas juga tidak menolak kemungkinan saingan La Liga akan dilangsungkan tanpa kehadiran penyokng. Foto:EPA

PRESIDEN La Liga, Javier Tebas memberi bayangan awal bahawa saingan liga akan kembali dilangsungkan seawal 29 Mei.

Kemungkinan setiap perlawanan bakal diadakan setiap 72 jam tanpa pertandingan lain seperti Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa.

Berbaki 11 minggu saingan liga, majoriti liga-liga utama yang lain di Eropah telah menangguhkan perlawanan mereka berikutan penularan Covid-19.

Pada Selasa lalu, Tebas telah mengumumkan tiga kemungkinan tarikh untuk pemain La Liga kembali beraksi di atas padang iaitu 29 Mei, 6 Jun, atau 28 Jun.

"Kami masih belum boleh beri kata putus. La Liga hanya akan bermula semula selepas mendapat kebenaran daripada kerajaan.

"Kami tidak mahu saingan musim ini dilanjutkan sehingga bulan Ogos kerana akan mempengaruhi jadual pada musim hadapan.

"Ketika ini, kami sedang mempertimbangkan dua kemungkinan iaitu mengadakan perlawanan domestik dan peringkat Eropah pada waktu yang sama.

"Yang kedua adalah memulakan saingan domestik lebih awal yang dijangkakan tamat pada Julai manakala saingan peringkat Eropah bakal berlangsung antara Julai dan Ogos," ujar Tebas.

Tambah Tebas, pihak mereka juga bakal mengalami kerugian sebanyak £900 juta (RM481 juta) sekiranya saingan La Liga untuk musim ini dibatalkan. - The Sun

La Liga, Javier Tebas

Artikel Lain