suria

Rumah penyokong Everton dipecah masuk, Ferguson hadiahkan TV baharu

Ferguson mengeluarkan wang sendiri membantu mangsa kecurian dengan membeli sebuah televisyen.

LEGENDA Everton, Duncan Ferguson dipuji oleh penyokong kelab kesayangannya itu selepas membelikan sebuah televisyen buat seorang penyokong The Toffees.

Ferguson yang kini dilantik sebagai penolong jurulatih Everton, telah menjaringkan 73 gol sepanjang 274 perlawanan aksi buat kelab tersebut.

Dia juga sebelum ini pernah dilantik sebagai pengendali sementara Everton pada Disember menggantikan Marco Silva yang dipecat.

Meskipun sempat mengemudi Everton hanya untuk tiga perlawanan, Ferguson dipuji penyokong apabila mencipta rekod tanpa kalah dalam kesemua perlawanan tersebut.

Di Twitter, seorang penyokong Everton, George Carbery telah memberitahu bahawa rumah datuknya telah dipecah masuk dan Ferguson telah membelikan sebuah televisyen baharu buat lelaki tersebut.

"Rumah datuk saya dimasuki perompak pada minggu lalu. Dia merupakan pemegang tiket bermusim Everton sejak saya kecil kini tinggal di rumah tanpa televisyen.

"Tidak lama selepas itu, pihak Everton telah menghubungi datuk saya. Ferguson sendiri ada menelefon dia untuk bertanya khabar dan membeli sebuah tv baharu menggunakan duitnya sendiri," tulis lelaki tersebut dalam sebuah tweet.

Dalam pada itu, Everton telah melancarkan kempen Blue Family untuk memastikan kelab sentiasa berhubung dengan penyokong yang terkesan disebabkan koronavirus.

The Toffees juga memperuntukkan £50,000 (RM267,413) untuk mengagihkan bungkusan makanan serta menampung perbelanjaan bil elektrik dan air bagi keluarga yang terjejas.

Baru-baru ini, kerajaan United Kingdom telah mengumumkan perintah berkurung selama tiga minggu menyebabkan Everton menempatkan kakitangan kelab di beberapa kawasan sekitar Merseyside.

Hasilnya, jurulatih kelab dapat berhubung dengan para pemain dan para penyokong menerusi panggilan telefon. - talkSPORT

Duncan Ferguson, Bantu, Beli TV, Curi

Artikel Lain