suria

Dr Wirdati Pesuruhjaya Sukan baharu, "Harap beliau teruskan legasi Zaiton"

Syed Saddiq menyampaikan ucapan pada Sambutan Ulang Tahun Pertama Pentadbiran Kerajaan Baharu Peringkat KBS 2019 Dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Belia dan Sukan pada Selasa. Foto: Bernama

KEKOSONGAN kerusi Pesuruhjaya Sukan (PJS) sejak Mac lalu akhirnya terisi dengan pelantikan Dr. Wirdati Mohd Radzi.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu, beliau sudah menandatangi surat pelantikan tersebut dan kini hanya menunggu pelepasan daripada Universiti Malayan (UM).

Jelas beliau, Dr Wirdati merupakan calon terbaik untuk mengganti Datuk Zaiton Othman susulan persaraannya.

"Jawatankuasa pemilih yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KBS, Dr. Waitchalla R.R.V Suppiah telah melakukan proses pemilihan bagi menentukan calon yang layak.

“Beliau adalah daripada UM, memang ada latar belakang sukan, bukan sahaja pengalaman dalam persatuan sukan tetapi juga undang-undang sukan.

“Saya berharap beliau dapat melakukan pembaharuan dalam sukan negara dan meneruskan legasi Zaiton yang sememangnya telah meninggalkan banyak jasa dalam arena sukan tanah air,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ulang Pertama Pentadbiran Kerajaan Baharu peringkat Kementerian Belia dan Sukan pada Selasa.

Dalam pada itu, Syed Saddiq menjelaskan kemelut yang melanda Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan diselesaikan secepat mungkin memandangkan sudah mempunyai PJS.

"Dalam bab ini biar PJS yang buat keputusan. Saya harap ianya dapat diselesaikan secepat mungkin kerana perlu meneruskan persediaan untuk ke Sukan Paralimpik di Tokyo."Namun saya selaku tekankan bahawa kami akan mengikut undang-undang," tambahnya.

Sebagai rekod, Sabtu lalu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagi penggal 2019-2023 ditangguhkan.Ia berpunca selepas bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menghantar borang pencalonan untuk jawatan presiden selepas tarikh tutup.

Susulan daripada itu, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharuddin tampil mendedahkan ada unsur penipuan terhadap borang pencalonan yang diserahkan Khairy.

Dr Wirdati, PJS, Syed Saddiq

Artikel Lain