suria

KJ jadi 'kambing hitam', tak layak bertanding presiden MPM

Megat Shahriman menunjukkan bukti-bukti unsur penipuan yang berlaku dalam persatuan MWRF.

"SAYA geli, semua tu toksik!," demikian luah Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca) berkaitan isu 'penipuan' dalam pencalonan untuk merebut kerusi panas presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Jelas Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, banyak bukti yang menunjukkan pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin adalah tidak sah dan beliau sebenarnya tidak layak.

Ini kerana, sebelum ini Khairy atau lebih mesra disapa KJ tidak memegang sebarang jawatan dalam persatuan sukan, namun sebaliknya telah berlaku.

Khairy menghantar pencalonan pada 15 Jun lalu atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWRF).

"Bukti yang saya perolehi menunjukkan senarai Ahli Jawatankuasa MWRF 2018/2019 tahun lalu mencatatkan Tan Ah Bee adalah timbalan presiden, manakala bagi jawatan naib presiden 3 pula tertulis 'akan dilantik kemudian'.

"Tetapi pada senarai terbaharu menyebut Tan Ah Bee telah diturunkan pangkat sebagai naib presiden 3 dan yang peliknya nama KJ pula sebagai timbalan presiden.

"Ia tidak mengikut perlembagaan, sepatutnya jawatan itu (timbalan presiden) hanya boleh diisi jika penama (Tan Ah Bee) meletak jawatan atau berhenti  dan diganti oleh  calon yang tewas ketika AGM tahun lalu.

Senarai Ahli Jawatankuasa MWRF tahun lalu dan terbaharu (kanan).

"Jika tidak tiada calon sedemikian atau calon menolak jawatan itu, pemilihan bagi mengisi kekosongan tersebut perlu dibawa ke AGM akan datang," jelas Megat Shariman kepada media, Khamis.

Dakwa Megat Shariman lagi, beliau tidak pasti apa yang sebenarnya berlaku sehingga wujud apa yang disifatkannya sebagai dokumen palsu seperti itu.

"Saya memang geli dengan situasi ini. Saya tidak kisah kalau pencalonan ini diteruskan tetapi adakah anda mahu seorang presiden yang menipu?.

"Buat perangai macam ini bermakna mengheret semua atlet ke longkang?" katanya yang berharap tiada persatuan sukan lain bertindak sedemikian.

Malahan, beliau juga menganggap kejadian itu berlaku kerana mungkin ada pihak yang tidak senang dengan kehadirannya, walaupun hakikatnya beliau tiada kepentingan dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS), termasuk projek.

"Saya hanya ingin menyumbang. Saya yakin KJ hanya dijadikan 'kambing hitam' oleh sahabatnya.

"Pesanan saya kepada KJ, buat apa kawan yang ingin membantu tetapi akhirnya menyusahkan diri sendiri?," katanya.

Malahan, beliau juga mendedahkan adanya bukti pihak MSN menyuruh undi diberikan kepada KJ.

Khairy menjadi Timbalan MWRF sejak Februari lalu.

"Semua bukti-bukti ini saya serahkan kepada Pesuruhjaya Sukan, KBS dan MSN. Kita tunggulah apa respons pihak berkenaan kelak," tambahnya.

Sebelum ini Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menafikan dakwaan bersekongkol dengan Presiden MPM, SM Nasiruddin SM Nasimuddin menjelang AGM MPM, Sabtu ini.

Dalam kenyataan media, Ahmad Shapawi menjelaskan beliau tidak pernah terlibat dalam mengarahkan pegawainya untuk mengesahkan kelayakan pencalonan Khairy  untuk bertanding sebagai presiden MPM.

Ahmad Shapawi berkata, beliau juga tidak pernah mencampuri urusan pemilihan AGM badan induk sukan para itu seperti yang dinyatakan dalam laporan bertarikh 25 Jun.

"Demi menjaga nama baik saya sebagai penjawat awam dan pihak MSN, saya akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang dan membuat laporan polis supaya siasatan boleh dijalankan.

"Saya menegaskan saya sentiasa mengamalkan sikap berkecuali dalam menjalankan tugas saya sebagai Ketua Pengarah MSN," katanya.

DS Megat Shahriman, KJ, MPM

Artikel Lain