suria

Penyokong harap Piya beri impak besar kepada Kelantan

Mohd Badhri Mohd Radzi.

PENYOKONG Kelantan menaruh harapan tinggi kepada Mohd Badhri Mohd Radzi atau dikenali Piya untuk membawa impak yang lebih besar kepada pasukan itu pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) selepas pemain terbabit kembali menyertai pasukan Kelantan.

Presiden Kelab The Red Warriors Klia (TRWC Klia) Rozaki Ab Kadir berkata kembalinya Piya yang turut terkenal di negeri itu sebagai “kapten marvel" diharapkan dapat memberikan suntikan kepada pasukan yang dalam kemelut prestasi tidak kosisten ketika ini.

"Sudah pasti dia (Piya) dapat memberikan satu semangat yang tinggi kepada pemain muda yang dilihat tidak mempunyai 'orang lama' untuk membimbing ketika beraksi di padang.

"Sudah pasti khidmat pemain itu berguna kepada pemain muda dalam meningkatkan prestasi pasukan untuk mengharungi perlawanan selepas ini," katanya.

Sebelum ini, Syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) yang mengurus pasukan Kelantan mengambil keputusan mendapatkan kembali khidmat bekas ketua pasukan Kelantan itu bagi menyertai The Red Warriors.

Musim lalu Mohd Badhri antara pemain otai Kelantan digugurkan oleh KAFA bagi proses pemutihan dan pada awal musim ini pemain terbabit memilih untuk menyertai pasukan Perlis namun terpaksa `angkat kaki ‘ susulan pasukan itu menghadapi isu tidak membayar gaji pemain.

Rozaki berkata kehadiran pemain tengah itu diharapkan turut memberikan semangat kepada penyokong untuk kembali memenuhi stadium.

"Apa yang pasti kami mengharapkan stadium yang semakin berkurangan akan dikunjungi selepas ini dan kemeriahan bola sepak Kelantan pasti akan kembali bagi melihat permainan yang memuaskan.

"Kami (penyokong) perlu memuji tindakan 'maut' dilakukan oleh KRW membawa kembali Piya walaupun pemain ini sudah berusia namun KRW melihat pengalamannya," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong TRW Kota Bharu Mohd Zainy Mohd Zain beliau yakin pemain itu mampu membimbing pemain muda yang semakin meningkat naik.

"Kelantan dibarisi ramai pemain muda yang berkualiti, namun kurang pemain pengalaman yang boleh menjadi guru ketika atas padang sehingga mereka membuat satu keputusan yang kurang kemas terutamanya aspek hantaran dan sebagainya.

"Penyokong harus memberikan sokongan dan peluang kepada Piya untuk menyumbang kepada pasukan dengan pengalaman, kemahiran terutamanya dari segi hantaran dan mengerakkan bahagian tengah pasukan," katanya. - BERNAMA.

Piya, Kelantan

Artikel Lain