Piala Kelayakan AFC B-23: Safawi penyelamat perlawanan kedua - Sukan | mStar

Piala Kelayakan AFC B-23: Safawi penyelamat perlawanan kedua

Jaringan Safawi memberi kemenangan skuad negara bertemu Laos pada Ahad. Foto kredit: FAM

JARINGAN tunggal Safawi Rashid pada minit ke-81 memberi sedikit kelegaan kepada skuad negara yang nyaris 'berputih mata' di tangan Laos pada aksi kedua Kelayakan Piala AFC Bawah 23 Tahun Kumpulan J di Stadium Shah Alam, Ahad malam.

Pengendali skuad B-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee memberitahu secara keseluruhan sasaran untuk mendapat tiga mata pada perlawanan kedua ini tercapai.

Mengimbas kembali perlawanan tersebut, Kim Swee berkata, banyak pertukaran dibuat membuatkan corak permainan tidak kemas.

“Yang penting sekarang kita berjaya dapat memungut tiga mata penuh.

“Pemain-pemain sentiasa mengejar gol menyebabkan corak permainan sedikit terjejas.

“Bagaimanapun kemenangan ini penting untuk berdepan dengan pasukan China bagi penentuan kedudukan dalam kumpulan,” jelasnya selepas perlawanan.

Kim Swee berkata, perlawanan terakhir bertemu China sangat penting dan semua pemain perlu kembali cergas.

“Kita semua tahu China sebuah pasukan yang bagus dan sebab itu semua pemain perlu mendapatkan rehat yang cukup terutama pemain yang sudah beraksi dua kali.

“Saya percaya kelebihan bermain di tempat sendiri akan mampu memberi saingan sengit kepada China,” tambahnya.

Pada perlawanan tersebut, Laos memberi tekanan kepada skuad negara yang menyaksikan kedudukan terikat seri tanpa jaringan pada babak pertama.

Namun selepas minit ke-55, rentak permainan berubah selepas kemasukan Safawi yang bergandingan dengan Jafri Firdaus Chew.

Malaysia kini mengutip enam mata dari dua perlawanan dan bakal berdepan dengan aksi akhir kumpulan bertemu China, Selasa ini.

Malaysia berada dalam Kumpulan J bersama Filipina, Laos dan China.

Juara setiap kumpulan bagi saingan kelayakan ini (11 pasukan) akan layak secara automatik ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2020 bersama tuan rumah, Thailand manakala hanya empat atau lima pasukan tempat kedua terbaik akan turut layak bagi melengkapkan senarai 16 pasukan.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain