AJ Pyro kerja keras sedia kembali bertarung selepas dua tahun menyepi - Sukan | mStar

AJ Pyro kerja keras sedia kembali bertarung selepas dua tahun menyepi

PETALING JAYA: Setelah dua tahun menyepi, AJ Lias Mansor, akhirnya bersedia membuat penampilan hebat di Jakarta bulan ini.

Acara sulungnya dalam ONE Championship musim ini dengan menyertai  ONE: Eternal Glory  dan pada masa yang sama merupakan kemunculan pertama atlet dari Sabah itu dengan organisasi seni mempertahankan diri terbesar dunia selepas dua tahun.

Walaupun sudah lama tidak beraksi di gelanggang selepas pulih daripada pembedahan kritikal, pemain dengan gelaran 'Pyro' itu sudah bersedia untuk kembali ke pentas selepas menjalani sesi kem latihan terbaik sepanjang kariernya.

“Kem latihan itu sangat hebat. Saya berjaya mengasah kemahiran dan mempertingkatkan aspek permainan dalam sukan seni mempertahankan diri," jelasnya.

Atlet berusia 43 tahun itu, memulakan sesi latihan di Infinity Brazilian Jiu-Jitsu (BJJ) yang bertempat di Cheras, Kuala Lumpur turut mempraktikkan teknik perlawanan dengan pakar sukan BJJ iaitu Ky Jeffers.

"Saya berlatih teknik pukulan dan pergelutan bersama Ky Jeffers dan ia banyak mengajar saya.

"Apa yang menarik mengenai sukan ini adalah kita dapat belajar perkara baharu setiap hari,” jelasnya.

Selepas menghabiskan masa seminggu di Cheras, Pyro kemudian berpindah ke Bangsar untuk berlatih bersama Sensei Takahashi Masanori di Bangsar Judo.

"Ia merupakan satu pengalaman kepada saya memandangkan sudah lama saya tidak berada di kem latihan.

"Dengan Masanori, saya banyak melakukan latihan penyesuaian kerana ia sangat penting, memandangkan saya sudah berusia."

Juara Kejohanan Malaysia ONE Featherweight itu mengakui tidak mempunyai banyak masa untuk berehat kerana perlu memastikan dirinya berada dalam keadaan terbaik ketika perlawanan.

Pada akhir bulan lalu, pemilik Skuad Borneo Tribal itu juga turut mengembara selama seminggu ke Tiger Muay Thai dan MMA di Phuket, Thailand, sebagai persediaan perlawanan.

"Di sana, saya mempertingkatkan latihan bersama ketua jurulatih George Hickman.

"Selama ini bergusti merupakan kekuatan saya, namun, pukulan saya juga kini semakin baik," katanya.

Pyro akan mengakhiri sesi latihannya di Sabah sebelum terbang ke Jakarta untuk pertarungannya menentang Yohan 'The Iceman' Mulia Legowo dari Indonesia.

Bagaimanapun, atlet itu berhasrat untuk meneruskan sesi latihannya di Jakarta.

"Saya akan kembali ke gim saya (Borneo Tribal Squad) untuk persiapan terakhir.

“Namun sebaik saja tiba di Jakarta, saya akan memulakan sesi latihan kerana saya tidak mahu membuang masa," tambah Pyro.

Pyro yang cukup berpengalaman pernah melatih beberapa atlet seni mempertahankan diri yang terkenal di Malaysia termasuk Ann 'Athena' Osman, Audreylaura 'Ice Comet' Boniface dan Hisyam 'Zephyrus' Samsudin.

Dia juga pernah melatih atlet strawweight dari Filipina, Jeremy 'The Jaguar' Miado.

Pada perlawanan kali ini, peminat boleh mengharapkan prestasi yang cemerlang daripada perintis sukan seni mempertahankan diri Malaysia, pada 19 Januari ini.

AJ Lias Mansor , ONE Championship

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan