suria

Kekal bersama Spurs atau sertai United, Pochettino mahu minta nasihat Wenger

MAURICIO Pochettino mahu bertanya kepada Arsene Wenger sekiranya dia menyesal kekal di Arsenal selama 22 tahun ketika pengurus Tottenham itu terus dikaitkan dengan Manchester United.

Pengendali dari Argentina itu menjadi calon utama lembaga pengarah United untuk mengisi jawatan pengurus tetap di Old Trafford.

Namun Pochettino mengakui dia boleh melihat dirinya menghabiskan kariernya selama 20 tahun sebagai pengurus Spurs dan kini mahu mendapatkan tip daripada Wenger mengenai perkara itu.

Wenger meninggalkan Arsenal pada musim panas lalu selepas mengemudi pasukan itu selama lebih 20 tahun.

Malah Pochettino mahu tahu sama ada Wenger berhasrat ingin terus kekal lebih lama di Emirates atau sebaliknya.

"Saya amat menghormati Wenger kerana apabila anda bercakap mengenai tempoh 22 tahun mengemudi kelab seperti Arsenal dan apa yang berlaku dalam tempoh itu, anda perlu bagus bukan sahaja jadi jurulatih hebat tetapi manusia luar biasa yang menonjolkan nilai yang anda ada.

"Ia menakjubkan. Agak sedih dia terpaksa menamatkan kariernya di Arsenal dengan cara sebegitu. Semua yang Wenger beri kepada Arsenal, hingga cara dia menamatkan kariernya, ya ia amat tidak adil.

"Bagi saya penghormatan kepada usahanya. Hanya saya berharap jika saya berpeluang bercakap dengannya saya mahu bertanya, "Adakah ia berbaloi untuk dilakukan? 'Saya tidak tahu apa dia akan katakan.

"Benar kita bekerja dan kita tahu realiti semua yang berlaku di dalamnya dan kita tidak boleh menjangkakan orang hidup dalam realiti yang sama atau mempunyai pengetahuan mengenai apa yang berlaku di dalam.

"Saya berharap mungkin saya berada di sini selama 20 tahun dan memutuskan untuk menamatkan karier saya di sini," katanya. - Metro.co.uk

Artikel Berikut

Artikel Lain