suria

Cheng Hoe kekal ketua jurulatih Harimau Malaya

PETALING JAYA: Tan Cheng Hoe kekal sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan untuk tempoh dua tahun lagi.

Pengendali kelahiran Kedah berusia 51 tahun itu sekali lagi diberi kepercayaan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas mereka bersetuju menyambung kontrak Cheng Hoe yang berakhir akhir bulan lalu.

Keputusan tersebut sekali gus menjawab persoalan status Cheng Hoe yang timbul sejak akhir-akhir ini.

Dengan rekod cemerlang mara ke final Piala AFF tahun lalu,  tiada masalah buat pengurusan FAM meletak kepercayaan kepada Cheng Hoe untuk terus mengemudi skuad utama negara ini.

"Ahli jawatankuasa sebulat suara bersetuju melantik semula jurulatih Tan Cheng Hoe untuk meneruskan agenda pasukan kebangsaan dan memberi peluang ke tahap yang lebih tinggi," ujar Timbalan Presiden  FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM di Wisma FAM pada Selasa.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memberitahu Cheng Hoe diberi kontrak selama dua tahun sehingga  2020.

"Indeks Prestasi Utama (KPI) ditetapkan adalah final Piala AFF 2020 serta kelayakan Piala Asia.

"Dua kejohanan itu adalah keutamaan daripada FAM sendiri," ujarnya.

Cheng Hoe yang mengambil alih tugas daripada daripada Nelo Vingada Disember tahun lalu membuktikan sentuhannya dalam skuad kebangsaan dengan memberi perubahan sepanjang menguruskan Harimau Malaya tahun lalu.

Dia berjaya menaikkan preastasi semasa Harimau Malaya apabila mencapai KPI yang ditetap FAM tahun lalu untuk mara ke final Piala AFF.

"Melanjutkan kontrak adalah cabaran buat saya. Ia memerlukan komitmen yang tinggi bukan sahaja  pada diri saya atau FAM, tetapi kepada pemain-pemain.

"Kita juga mahu layak ke peringkat tertinggi Asia. Dari segi pemain tidak ada masalah kerana ramai pemain muda yang berpotensi boleh diserap ke skuad negara.

"Tetapi paling penting mereka perlu kerap bermain dalam Liga Malaysia kerana ia penanda aras untuk meningkat dari segi teknikal dan fizikal.

"Corak permainan dan filosofi akan dikekalkan dan secara keseluruhan saya berpuas hati dengan dengan  prestasi semua pemain," katanya.

Tan Cheng Hoe, FAM

Artikel Lain