suria

Pafa perkenal pemain, jersi The Bos Gaurus untuk musim 2019

Pengurus Pasukan Perak Datuk Adly Shah Ahmad Tah (tengah) bersama pemain import baharu Perak Zac Anderson (belakang empat, kiri) yang ditandatangani selama semusim oleh Persatuan Bola Sepak Perak. - Bernama

KUALA KANGSAR: Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) akan mengadakan majlis memperkenalkan barisan pemain skuad The Bos Gaurus serta jersi pasukan itu untuk musim 2019 pada 20 Jan ini.

Setiausaha Pafa Abd Aziz Yeop Jamaluddin berkata pihaknya akan berbincang dengan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Presiden Pafa bagi mengatur perjumpaan bersama.

"Bagaimanapun perjumpaan itu bergantung kepada menteri besar dan ia akan ditentukan dalam mesyuarat Pafa, esok (Rabu)," katanya kepada pemberita selepas perasmian Pejabat Persatuan Bola Sepak Kuala Kangsar (KKFA) di Taman Medan Suria dekat sini, Selasa.

Abd Aziz berkata pejabat KKFA ini merupakanh yang pertama dibuka di sini bagi memudahkan semua urusan persatuan dan ahli gabungan berurusan di sini.

Beliau yang juga Yang Dipertua KKFA berkata senarai pemain sudah 90 peratus siap dan kini di peringkat akhir untuk jurulatih Mehmet Durakovic memuktamadkan barisan bagi menghadapi saingan. 

Abd Aziz berkata Perak akan mengekalkan tiga pemain import dari Brazil iaitu Wander Luiz, Leandro Dos Santos dan Gilmar Jose Da Silva Filho.

Katanya Pafa juga mendapatkan khidmat pemain tempatan dari Terengganu, P. Partiban untuk bermain dengan skuad Seladang pada musim ini.

“Kita akan senaraikan 20 pemain tempatan yang untuk beraksi sebelum 10 Jan ini manakala muktamad pendaftaran pemain adalah pada pertengahan Feb depan,” katanya. - Bernama

Pafa

Artikel Lain