suria

Ramsey setuju pindah ke Juventus

AARON RAMSEY akan menyertai Juventus pada musim panas selepas mencapai persetujuan dengan kelab gergasi Serie A itu, dakwa laporan media Itali.

Bintang Wales yang tidak lagi dikehendaki oleh kelabnya sekarang (Arsenal) itu bebas daripada kontrak pada musim panas dan telah dikaitkan dengan beberapa kelab besar Eropah dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Bayern Munich, Paris Saint-Germain dan Liverpool adalah antara kelab yang disebut-sebut.

Tetapi akhbar Itali, Tuttosport melaporkan bahawa Juventus telah berjaya mendapatkan pemain tengah berbakat itu dengan perpindahan percuma.

Laporan itu mengatakan bahawa Ramsey akan diberikan kontrak empat tahun dengan gaji asas sebanyak €6.5 juta (RM30.7 juta).

Ramsey sering dijadikan pemain simpanan ketika di bawah pimpinan Unai Emery pada musim ini.

Perbincangan kontrak antara pemain itu dan Gunners juga menemui jalan buntu.

Cabaran baharu di Itali boleh menjadi laluan buat Ramsey menghidupkan semula kerjaya bola sepaknya. - Wales Online

Aaron Ramsey

Artikel Sebelum

Artikel Lain