suria

Bekas atlet Olimpik AS bakal dilantik jadi ketua jurulatih olahraga negara

KUALA LUMPUR: Bekas pelari lompat pagar Amerika Syarikat, David Patrick dikatakan bakal dilantik sebagai Ketua Jurulatih Olahraga negara yang baharu.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim (gambar) berkata, Patrick, 58, adalah calon di kedudukan teratas yang sedang difikirkan oleh kesatuan itu, dengan kejayaannya di dalam dua disiplin sukan, lari lompat pagar dan pecut semasa zaman kegemilangan beliau di penghujung 1980 hingga awal 1990-an.

Bagaimanapun, Karim berkata beliau akan membawa perkara ini kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk perbincangan lanjut kerana ia akan melibatkan dana yang besar untuk membayar gaji bekas atlet berasal dari Illinois, itu.  

Selain daripada calon Amerika itu, kami juga menerima permohonan daripada pelbagai  calon  dari  beberapa negara seperti Ukraine, Perancis, Afrika dan Jamaica.

Permintaan untuk mendapatkan jurulatih luar datang daripada jurulatih kami, Mohd Poad Md Kassim  dan M. Balamurugan yang mahu melihat atlet kita akan melangkah jauh melangkaui peringkat ASEAN,” katanya dalam satu sidang media, di sini pada Jumaat.

Patrick menjadi sebutan dalam dunia olahraga selepas beliau memenangi pingat perak dalam  Sukan Olimpik 1992 Barcelona selain memenangi pingat emas dalam Piala Dunia IAAF 1989 di Sepanyol.

Mengulas lanjut, Karim berkata beliau penuh dengan keyakinan bahawa Patrick akan  membawa  olahraga Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi jika beliau menggalas tugas ini.

Sementara itu, Karim berkata KOM telah menyenaraikan 30 atlet untuk melalui proses pemilihan  untuk beraksi di Sukan SEA 2019 Filipina, dengan hanya yang terbaik akan diberi peluang untuk mewakili negara.

Beliau berkata atlet berpotensi dari luar program kebangsaan juga akan dijemput untuk menyertai proses pemilihan, tetapi terserah kepada KOM dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk membuat keputusan akhir.

“Jumlah itu belum dimuktamadkan lagi kami akan mengurangkan bilangannya dan kami  akan  menghantar senarai nama atlet yang layak kepada Majlis Olimpik Malaysia, mungkin  penghujung  Julai  tahun hadapan,” Karim berkata. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain