"Mahu Akhyar, datang berunding dengan KFA dulu" - Mukhriz - Sukan | mStar

"Mahu Akhyar, datang berunding dengan KFA dulu" - Mukhriz

Akhyar Rashid. Foto: KFA

PETALING JAYA: Kemelut pemain muda  Akhyar Rashid dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) belum ada penyelesaian.

Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, semua pihak perlu bersikap profesional dan menggunakan jalan yang betul kerana penyerang muda tersebut pada awalnya masih berbaki kontrak selama setahun sehingga musim 2019 bersama Lang Merah.

"Mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar Rashid sepatutnya datang berunding KFA dan mengikut saluran undang-undang dan bukannya melalui pemain sahaja.

"Persatuan prihatin dengan kebajikan pemain berkenaan dan sangat mengalu-alukan sekiranya Akhyar mahu berhijrah untuk beraksi di peringkat antarabangsa seperti menyertai kelab di Thailand.

"Bagaimanapun, sekiranya beraksi bersama pasukan lain di Liga Malaysia, pemain kelahiran Alor Setar itu perlu berbalik dan melihat kepada kontrak sedia ada.

"Mana-mana pasukan lain yang mahukan beliau sepatutnya datang berunding dengan Kedah dan bukannya berunding dengan pemain sahaja, kita perlu ikut saluran undang-undang," katanya mengulas keputusan  Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang membenarkan pengadu iaitu Akhyar menebus kontrak bersama KFA dengan bayaran nilai tebus kontrak sebanyak RM210,000.

Mana-mana pasukan yang menandatangani kontrak pemain tersebut seterusnya adalah dikehendaki untuk membayar kepada KFA sebanyak RM75,000 untuk pampasan latihan pengadu.

Mukhriz berkata, KFA akan melihat semula nilai pampasan yang telah ditentukan oleh FAM pada Isnin lalu."Memang kita terasa jika Akhyar berhijrah kerana beliau datang dari kilang Kedah, biasalah (perkara ini) dah banyak kali dah berlaku, bukan sekali.

"Ramai pemain kita yang bermain bersama pasukan kebangsaan namun selepas itu kita akhirnya gagal mendapatkan khidmat mereka.

"Sepatutnya pemain-pemain ini perlu berurusan dengan Kedah terlebih dahulu sebelum mereka berhijrah beraksi dengan pasukan lain," katanya.

Tambahnya,  KFA menggesa kepada semua pemainnya berurusan secara profesional agar tidak sewenang-wenangnya meninggalkan pasukan jika mendapat tawaran lebih baik dari pasukan lain demi kelangsungan kerjaya mereka pada masa hadapan.-Sinar Harian

Akhyar Rashid , Mukhriz Mahathir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain