suria

Kongres EGM Geng 52 FAS tak sah

Dr Johan Kamal Hamidon.

KUALA LUMPUR: Kongres Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada 8 November lepas oleh 52 anggota gabungan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), kononnya untuk memilih ahli jawatankuasa yang baharu bagi penggal 2018-2022 adalah tidak sah dan terbatal.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata FAS telah menerima surat daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan bertarikh 17 Disember yang memaklumkan kongres berkenaan yang diadakan di sebuah hotel di Seri Kembangan telah melanggar statut FAS.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan Presiden FAS Tengku Amir Shah, barisan exco dan juga sekretariat FAS bersyukur di atas berita tersebut dan memberi fokus untuk memantapkan persiapan pasukan Selangor untuk bersaing pada musim 2019.

“Kami juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua penyokong Red Giants yang telah memberi sokongan sepenuhnya kepada kami selama ini.

“Akhir sekali, kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang telah menangani isu ini dengan penuh kredibiliti dan profesionalisme,” jelas Dr Johan yang dipetik sebagai berkata dalam laman sesawang FAS; www.redgiants.faselangor.my.

Seramai 52 anggota gabungan FAS yang dikenali sebagai ‘Geng 52' sebelum ini telah mengadakan EGM pada 8 November lepas di Seri Kembangan setelah tidak berpuas hati dengan pelantikan Mohd Izhar Moslim dan Dr Johan ke dalam FAS kerana mendakwa dua individu berkenaan bukan anggota gabungan FAS.

Tengku Amir Shah yang merupakan Raja Muda Selangor, bagaimanapun mendakwa kongres berkenaan tidak sah kerana telah melanggar statut FAS dan wakil FAS telah menghantar bukti mengenai kongres kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk tindakan selanjutnya. - BERNAMA

FAS, EGM

Artikel Sebelum

Artikel Lain