Piya ke Perlis musim depan, tetap tuntut Kafa langsai gaji tertunggak - Sukan | mStar

Piya ke Perlis musim depan, tetap tuntut Kafa langsai gaji tertunggak

PETALING JAYA: Hampir tujuh bulan tidak beraksi, kini bekas kapten pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi sedia turun padang.

Mohd Badhri atau lebih dipanggil Piya bakal beraksi di saingan Liga Malaysia musim depan bersama pasukan utara, Perlis.

Pemain berusia 36 tahun itu sebelum ini berdepan konflik dalaman dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang mengetepikannya pada aksi musim lalu di samping masalah gaji yang berterusan.

"Alhamdullilah saya akan kembali beraksi selepas berdepan dengan pelbagai masalah dengan pasukan lama.

"Selepas 12 tahun bersama pasukan Kelantan, saya meninggalkannya secara rasmi. Kali terakhir keluar daripada skuad itu ketika musim 2006-07 bersama dengan PDRM.

"Walaupun sudah ada pasukan lain, saya tetap akan menuntut hak gaji yang tertunggak sejak April lalu," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Piya, dalam tempoh tidak mendapat gaji, dia bersyukur kerana masih ada sedikit simpanannya sebelum menerima kontrak baharu bersama Perlis ini.

"Rezeki saya untuk musim baharu nanti. Setakat ini kontrak setahun dengan Perlis, semuanya okay.

"Ia menggembirakan saya dan mungkin selepas setahun dua lagi saya akan bersara.

"Mengenai rakan pasukan yang bakal bersama nanti, rata-ratanya saya sudah biasa dengan mereka. Harap-harap kami dapat membantu Perlis nanti," jelas Piya yang menjalani latihan bersama skuad baharunya di Kuala Lumpur.

Selain Piya, nama-nama besar yang dilaporkan bersama Singa Utara itu termasuk Safee Sali, Amiridzwan Taj, Khyril Muhymeen, Azmi Muslim dan Fauzi Roslan.

Mohd Badhri Radzi , Piya

Artikel Berikut

Manchester United pecat Mourinho!

Artikel Lain

Sultan Ahmad Shah mangkat