suria

STL Divisyen Satu: N.Sembilan Antlers, Masum-UPM bersaing rebut kejuaraan

Pasukan Negeri Sembilan Antlers.

PETALING JAYA: Negeri Sembilan Antlers memastikan kedudukan mereka selaku pendahulu Sepaktakraw League (STL) Divisyen Satu 2018 tidak tergugat buat minggu kedua berturut-turut meskipun rekod tanpa kalah mereka dicalar oleh pasukan Sabah Mountaineers.

Mengimbau semula perjalanan minggu kedua yang menutup tirai pada Ahad lalu, pasukan bimbingan Shahir Nasrudin itu membuka tirai dengan kemenangan meyakinkan 2-0 (21-16, 21-18) ke atas salah satu pasukan pilihan Putrajaya Cyborg pada Jumaat.

Mereka kemudiannya dilihat menghampiri kemenangan kelima berturut-turut apabila menang set pertama ke atas Sabah Mountaineers namun terpaksa akur dengan kekalahan setelah pasukan dari Borneo itu bangkit menterbalikkan keputusan untuk menang 2-1 (14-21, 21-9, 21-15).

Negeri Sembilan Antlers bagaimanapun kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan PSM Mavericks 2-0 (21-16, 21-14) sekaligus kekal menerajui liga dengan 10 mata dari enam perlawanan, hanya dipisahkan menerusi beza set ke atas pendatang baru Masum-UPM dan Sabah Mountaineers.

Masum-UPM membuktikan cabaran mereka tidak boleh dipandang enteng tatkala mereka terus mencuri tumpuan dalam penampilan sulung apabila melonjak ke tangga kedua liga dengan merakamkan lima kemenangan berturut-turut.

Pasukan yang diperkuatkan bekas pemain kebangsaan Suhairi Sulaiman itu menang ketiga-tiga perlawanan pada minggu kedua - bermula dengan menghadiahkan Sabah Mountaineers kekalahan pertama musim ini setelah menang 2-1 (21-14, 18-21, 21-5) dan kemudiannya menewaskan PSM Mavericks 2-0 (21-15, 21-19) disusuli kemenangan ke atas Perlis Vipers 2-1 (21-18, 19-21, 21-17).

Sementara itu, Sabah Mountaineers memastikan mereka tidak tercicir dari kelompok tiga teratas menerusi kemenangan 2-0 (21-12, 21-19) ke atas Sarawak Hunters sekaligus menjadikan ianya pertarungan tiga penjuru untuk memburu kejuaraan STL Divisyen Satu.

Setelah tamat enam perlawanan dan saingan menuju ke minggu akhir, hanya Perlis Vipers dan Sarawak Hunter masih belum mencatat sebarang kemenangan. 

Sukan, Sepak Takraw

Artikel Lain