suria

Felcra FC sah tarik diri

KUALA LUMPUR: Naib juara Liga Premier 2018, Felcra FC sah menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019 setelah mengalami masalah kewangan.

Sepucuk surat mengenai perkara itu dihantar oleh Felcra FC kepada sekretariat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dua hari lepas (15 November).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dalam satu kenyataan menyifatkan penarikan diri skuad 'The Rivals' perlu dilihat daripada sudut positif iaitu membolehkan MFL membuat penapisan di peringkat awal bagi pasukan-pasukan yang tidak mampu untuk terus bersaing dalam saingan Liga-M.

Beliau memaklumkan MFL telah menghantar surat kepada MIFA yang menduduki tangga ketiga Liga Premier 2018 bagi menggantikan tempat Felcra FC dalam Liga Super 2019, namun MIFA perlu memenuhi lapan kriteria yang ditetapkan oleh MFL.

Antara kriteria tersebut adalah mendapatkan lesen kelab kebangsaan yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), deklarasi pembayaran tertunggak, perancangan kewangan dari tahun 2019- 2021, pengauditan penyata kewangan yang telah dihantar ke FAM, perjanjian sewaan stadium bagi lima musim terakhir (2014-2018), carta organisasi pasukan, deklarasi integriti bagi lima musim terakhir dan perancangan pasukan bagi menaikkan jumlah penyokong dan memantapkan perhubungan bersama penyokong.

Dalam pada itu, Kevin mengesahkan pasukan UKM FC boleh membuat rayuan dalam tempoh tujuh hari bekerja untuk mengesahkan penyertaan mereka dalam Liga-M 2019.

Ia susulan keputusan Lembaga Pengarah MFL yang menolak permohonan awal pasukan berkenaan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pasukan sehingga 29 November ini.

Dalam perkembangan sama, Kevin berkata pihaknya telah menerima permohonan 20 pasukan iaitu 11 pasukan Liga Super dan sembilan pasukan Liga Premier yang mengesahkan penyertaan dalam Liga-M 2019.

11 pasukan berkenaan adalah Perak, PKNS FC, Pahang, Johor Darul Ta'zim, Terengganu FC, Kedah, Melaka, Selangor, PKNP FC, Kuala Lumpur dan Felda United FC.

Sembilan pasukan tersebut adalah Negeri Sembilan, Kelantan, MIFA, Johor Darul Ta'zim II, PDRM, Sabah, Sarawak, UiTM FC, Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Kevin berkata, kesemua 20 pasukan berkenaan perlu melengkapkan pendaftaran pasukan yang bermula sejak semalam sehingga 13 Disember ini.

20 pasukan berkenaan, jelas Kevin, perlu menghantar beberapa jenis dokumen seperti surat penyata kewangan bagi selesai pembayaran dan tunggakan gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN dari bulan Januari-November 2018, pengesahan venue, resit pembayaran penyertaan pasukan, warna jersi bagi tahun 2019 dan surat pengesahan penajaan sebagai syarat untuk melengkapkan pendaftaran pasukan. - BERNAMA

Felcra FC

Artikel Sebelum

Artikel Lain