suria

Tiga pasukan dari Liga Premier lulus Lesen Kebangsaan

Felda United antara salah satu daripada tiga pasukan Liga Premier yang lulus Lesen Kebangsaan 2019. Foto: Bernama

PETALING JAYA: Sebanyak tiga daripada 9 pasukan yang memohon lesen kebangsaan dari Liga Premier telah lulus bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2019, jika layak.

Perkara ini telah diputuskan pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 14 November 2018.

Menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Felda United FC dan UITM FC lulus dalam mendapatkan lesen kebangsaan manakala MIFA juga berjaya mendapatkan lesen kebangsaan tetapi dengan sanksi.

"Sementara itu, enam pasukan yang lain iaitu Sabah FA, Sarawak FA, Felcra FC, UKM FC, PDRM FA dan Penang FA telah ditolak permohonan mereka untuk mendapatkan lesen kebangsaan kerana gagal menepati kriteria yang telah ditetapkan," jelas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam kenyataan tersebut.

Untuk makluman, bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kebangsaan, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018.

"Bagi pasukan-pasukan yang gagal, mereka telah pun diberikan surat pemakluman dan masih boleh merayu untuk mendapatkan lesen kebangsaan seperti dinyatakan dalam Artikel 3.4.2 Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018 yang mana rayuan mereka dijadualkan akan didengar dalam masa terdekat.

"Lesen Kebangsaan yang dikeluarkan ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2019 dan sepanjang musim berkenaan, jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018 atau mempunyai kes berkaitan dengan Fifa dan AFC, lesen kebangsaan mereka boleh ditarik balik.

"Harus diingatkan bahawa kelab tidak perlu lesen kebangssan untuk menyertai Liga Perdana musim 2019. Walau bagaimanapun, kelab wajib memerlukan lesen kebangssan untuk menyertai Liga Perdana dari musim 2020 dan seterusnya," tambahnya.

Lesen Kebangsaan, Liga Premier

Artikel Lain