suria

PKNP gugur semua import

KELAB Liga Super, PKNP FC menggugurkan kesemua lima pemain import mereka susulan prestasi hambar yang ditampilkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018.

Ketua Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berkata, beliau agak kecewa dengan prestasi lima pemain import berkenaan yang gagal membantu kelab berkenaan mencapai keputusan positif walaupun kerap diberi peluang beraksi dalam beberapa pertandingan Liga-M musim ini.

Lima pemain import berkenaan adalah Nikolv Luben Gueorguiev dari Bulgaria, Ritus Krjauklis (Lithuania), Franklin Clovis Anzité Touadéré (Bangui), Yeon Gi Sung (Korea Selatan) dan Keo Sokpheng dari Laos.

“Masalah ketara kita adalah ketumpulan jentera serangan dan saya akui pemain import kita gagal memberi kesan positif walaupun banyak peluang telah diberikan kepada mereka dalam beberapa perlawanan Liga Super.

“Saya akan mencadangkan kepada pihak pengurusan dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan pemain import yang lebih berkualiti untuk memperkuatkan pasukan kita bagi menghadapi saingan Liga Malaysia pada musim hadapan,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan bagaimanapun memuji prestasi cemerlang ditampilkan beberapa pemain muda pasukan berkenaan termasuk perancang tengah, Mohd Nor Hakim Isa dan Mohammad Hafiz Ramdan yang berjaya menampung kepincangan barisan pemain import.

Dalam pada itu, Abu Bakar yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Burn’ memaklumkan, beliau bercadang merekrut lebih ramai pemain muda dari skuad Sukma Perak 2018 ke dalam skuad utama Liga Super bagi saingan Liga-M 2019.

Ditanya mengenai persediaan pra-musim, Abu Bakar memaklumkan pemain pasukan berkenaan kembali menjalani latihan sejak awal ini dan bakal menyertai beberapa aksi persahabatan dengan beberapa pasukan tempatan.

Untuk rekod, PKNP FC layak ke separuh akhir Piala FA selain menduduki tangga kesembilan daripada 12 pasukan dalam saingan Liga Super pada musim ini.

Mereka bagaimanapun gagal layak ke suku akhir Piala Malaysia setelah menduduki tempat tercorot dalam kumpulan D. - BERNAMA

PKNP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain