suria

Harimau Kumbang dapat peruntukan RM5 juta

KERAJAAN Pulau Pinang akan memperuntukkan RM5 juta kepada Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) bagi menghadapi Liga Premier 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee berkata, penstrukturan semula FAP telah dilaksanakan pada September lalu dan kini presiden baharu FAP dilantik untuk meningkatkan prestasi pasukan di samping menyelesaikan masalah tunggakan hutang yang melampau.

"Dengan peruntukan itu, FAP menetapkan sasaran untuk membawa Pulau Pinang berada di lima tempat teratas Liga Premier dan kemudian melayakkan ke Piala Malaysia," katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dun Pulau Pinang, di sini Rabu.

Namun M. Satees (PH-Bagan Dalam), ketika mencelah, telah mempersoalkan adakah FAP dengan pentadbiran baharu ini akan mengenakan syarat menggunakan khidmat sepenuh anak jati negeri dalam pasukan tersebut.

Dalam pentadbiran yang lepas, banyak peruntukkan telah digunakan untuk mendapatkan khidmat pemain dan jurulatih luar tetapi masih gagal menghasilkan keputusan yang memberangsangkan," katanya.

Soon berkata, kerajaan negeri setakat ini tidak menetapkan sebarang syarat kepada FAP.

Katanya, kuasa untuk menentukan pemain tempatan atau pemain asing dengan gaji yang berpatutan diberikan sepenuhnya kepada presiden.

"Selepas pentadbiran baharu diilantik, kerajaan negeri akan memberikan kebebasan sepenuh kepada FAP untuk menguruskan pasukan bola sepak negeri dan selepas peruntukkan 2019 ini, kerajaan negeri tidak akan lagi tanggung masalah tunggakan gaji pemain negeri." katanya.

Beliau berharap selepas ini, FAP akan lebih berupaya untuk berdikari dan mendapatkan tajaan atau sumber kewangan sendiri.

Soon berkata, pembangunan bola sepak negeri akan dilaksanakan dengan pengambilan jurulatih tempatan untuk setiap daerah serta menwujudkan akademi serta liga daerah.

"Diharapkan dengan projek pembangunan ini, ia mampu mencungkil bakat bahru dalam kalangan anak-anak negeri dan meningkatkan prestasi pasuka bola sepak negeri," katanya.

Persidangan Dun Pulau Pinang akan bersambung hari ini. - BERNAMA

Pulau Pinang, Liga Premier

Artikel Berikut

Artikel Lain