suria

MSN bakal bertemu persatuan sukan bincang senarai atlet

Ahmad Shapawi Ismail

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengadakan mesyuarat khas bersama 26 persatuan sukan kebangsaan pada penghujung bulan ini bagi mendapatkan senarai atlet dan jurulatih negara yang sesuai untuk program baharu yang menggunakan pendekatan sistem berperingkat.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, persatuan sukan  terlibat  perlu  membentangkan nama atlet dan jurulatih yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam program berkenaan kepada Jawatankuasa Pemilihan yang dianggotai oleh wakil MSN, Majlis Olimpik Malaysia dan Institut Sukan Negara pada mesyuarat tersebut yang bakal diadakan pada 27 dan 28 November ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penutup Bengkel Penetapan Program Latihan 2019 yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di sini, Rabu.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Shapawi berkata, penilaian prestasi atlet negara dalam sistem berperingkat itu akan diputuskan oleh Lembaga Pengurus MSN yang akan mengadakan mesyuarat sebanyak empat kali setahun.

Lembaga Pengurus MSN yang dipengerusikan Syed Saddiq, turut dianggotai oleh beberapa individu terkemuka termasuk bekas atlet kebangsaan, Datuk Marina Chin, Presiden Majlis Olimpik Malaysia Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selain bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Wira Mazlan Ahmad.

“Keputusan pengelasan seseorang atlet itu samada kekal dalam peringkat pertama atau diturunkan ke peringkat lebih bawah akan diputuskan selepas berakhirnya mesyuarat berkenaan,” jelas Ahmad Shapawi.

Syed Saddiq sebelum ini mengumumkan penstrukturan semula Program Podium baharu yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh MSN bermula tahun depan.

Program baharu berkenaan terbahagi kepada empat peringkat iaitu peringkat pertama tertumpu kepada sukan-sukan yang mempunyai penyertaan di Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik 2020.

Peringkat kedua memberi fokus kepada sukan yang berpotensi memenangi pingat di Sukan Komanwel dan Sukan Asia serta sukan di Sukan Para Asia 2018 dan akan bertanding di temasya pada 2022.

Peringkat ketiga kepada sukan yang dipertandingkan dalam Sukan SEA serta Para Asean 2019/2021.

Peringkat keempat akan menempatkan sukan-sukan yang tidak dipertandingkan dalam mana-mana temasya,dengan kelompok sukan itu akan diberi bantuan secara geran dan bergantung kepada prestasi mereka di peringkat antarabangsa.- Bernama

MSN, Persatuan Sukan

Artikel Lain