suria

Tak tahan netizen kecam keluarga, Subkhiddin letak jawatan di FAM

PETALING JAYA: Selepas berfikir panjang Subkhiddin Mohd Salleh mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Exco dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Subkhiddin yang pernah ke Piala Dunia mengakui faktor peletakan jawatannya itu melibatkan keluarga dan beliau tidak boleh pejam mata terhadap kecaman-kecaman netizen.

"Saya tidak kisah dan menerima apa sahaja kritikan dan kecaman yang dilemparkan kepada saya. Tetapi apabila kecaman itu menyentuh anak-anak saya, keluarga serta ayah saya, ia memang tidak boleh diterima.

"Ayah saya sudah lama meninggal dunia. Anak-anak saya tahu apa yang berlaku dan mereka turut terkena tempias dengan kata-kata netizen.

"Anak-anak saya sudah berkerjaya dan saya perlu menjaga imej mereka. Bagi saya kalau kritikan itu hanya melibatkan kerjaya saya, saya memang tidak peduli. Memang sudah menjadi lumrah, apa sahaja yang kita buat akan mendapat pandangan atau kritikan," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Subkhiddin berkata, pemilihan pengadil Suresh Jayaraman untuk mengendalikan perlawanan besar dibuat berdasarkan kemampuannya.

"Sebelum memilih pengadil kita sudah menilai dari semua aspek. Namun peminat atau pengulas sukan lebih suka mencari kesilapan pengadil. Provokasi yang timbul menjadikan situasi itu lebih serius.

"Saya sudah menjelaskan semua perkara pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengadil hari ini (Isnin).

"Dan keputusan saya ini adalah muktamad," katanya.

Subkhddin, Pengadil, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain