suria

Roelant Oltmans dilantik jadi ketua jurulatih baharu skuad hoki Malaysia

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan mendapat nafas baru dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun selepas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengumumkan pelantikan ketua jurulatih baharu, Roelant Oltmans berkuat kuasa Isnin.

Oltmans, 64, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Pakistan, mengikat kontrak bersama KHM selama dua tahun bagi menggantikan Stephen Van Huizen yang ‘diturunkan' pangkat sebagai penolong jurulatih kebangsaan.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata pelantikan Oltmans bukanlah menidakkan keupayaan Van Huizen, tetapi untuk menambahkan kekuatan, sekali gus menjadikan pasukan kebangsaan lebih mantap.

Roelant Oltmans

“Saya berharap ia akan menjadi formula terbaik untuk pasukan. Oltmans akan menjadi ketua jurulatih dan Stephen (Van Huizen) akan bertindak sebagai penolong jurulatih dan juga pengurus pasukan kerana beliau mempunyai banyak pengetahuan dalam pasukan kebangsaan.

“Saya yakin mereka boleh bekerjasama dengan baik dan ia akan menjadi satu kombinasi cukup lengkap untuk menjadikan pasukan kebangsaan mantap. Barisan kejurulatihan yang lain tiada perubahan termasuk pengarah teknikal, Terry Walsh,” katanya pada sidang media KHM di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Isnin.

Sementara itu, Oltmans berkata kehadirannya di Malaysia bukanlah untuk memberi jaminan membawa Malaysia layak ke Sukan Olimpik, tetapi bagi membawa perubahan secara menyeluruh kepada pasukan kebangsaan.

“Kita perlu sentiasa meningkatkan diri kita seperti dari segi fizikal, taktikal, mental dan kemahiran. Sekiranya kesemua elemen itu dapat dipertingkatkan dan akhirnya mengenal pasti sekumpulan pemain terbaik, dan kesemua itu bergerak seiring, itu yang kita mahu capai.

“Sasaran peribadi saya sangat mudah, membentuk pasukan mempunyai kualiti tinggi. Saya pasti kita boleh tingkatkan kualiti pemain secara individu serta pasukan, dan sudah tentu pada akhirnya anda boleh mendapat hasil yang diinginkan,” katanya.

Dalam pada itu, Subahan menjelaskan beliau sudah menghantar surat rayuan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bagi mempertimbangkan penyertaan automatik Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo berikutan pasukan Jepun yang memenangi pingat emas pada Sukan Asia 2018 baru-baru ini, sudahpun mengesahkan tempat selaku tuan rumah temasya sukan itu pada 2020.

Beliau berkata Malaysia seharusnya diberikan tempat pada Sukan Olimpik 2020 kerana muncul sebagai pemenang pingat perak Sukan Asia 2018.

“Namun perkara itu tidak dapat dipertimbangkan ketika ini kerana ia di luar bidang kuasa FIH dan perlu melalui Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC). Saya akan ke New Delhi, India, pada hujung bulan ini untuk menghadiri kongres FIH dan kita akan turut membuat rayuan di sana,” katanya. - Bernama

Hoki, Roelant Oltmans

Artikel Berikut

Maradona gesa Messi bersara

Artikel Lain