Ayah kurang sihat, Safawi 'curi' masa pulang ke kampung - Sukan | mStar

Ayah kurang sihat, Safawi 'curi' masa pulang ke kampung

Safawi memuatnaik gambar ayah dan ibu (Selemeh Abu Bakar) serta kakaknya yang menyambut hari lahir awal Ogos lalu. Foto Kredit: Instagram Safawi.

PETALING JAYA: Penyerang muda prolifik negara, Safawi Rasid kekal fokus biarpun risau dengan kesihatan ayahnya yang kurang sihat.

Pemain berusia 21 tahun itu mengakui jadual padat tidak menjadi alasan untuk dia berhubung dengan keluarganya di kampung.

Sebaik sahaja pulang dari aksi Sukan Asia minggu lalu, Safawi terus bersama kelabnya, Johor Darul Ta'zim (JDT)  dalam mengharungi saingan Piala Malaysia.

"Ayah saya (Rasid Sulong) tidak berapa sihat buat masa sekarang. Sekurang-kurangnya dua minggu sekali beliau berubat kerana penyakit kulit yang dialaminya.

"Memang akui tahun ini lebih sibuk berbanding sebelumnya dengan saingan Liga Malaysia dan aksi kebangsaan.

"Bagaimanapun, kalau dapat cuti sehari atau dua, saya akan pulang ke kampung di Dungun, Terengganu berjumpa keluarga," ujarnya kepada mStar Online pada Jumaat.

Menurut Safawi, dia akui keluarganya adalah tulang belakang utama dalam kariernya.

"Restu mereka menjadikan saya seperti sekarang. Sudah tentu saya tidak sesekali akan membelakangkan mereka kerana saya masih ingat sampai bila-bila pesan supaya bermain bersungguh-sungguh kerana ayah pesan 'keluarga kita ni bukan macam orang lain, nak tu dapat, nak ni dapat'," jelasnya.

Safawi fokus menjalani latihan bersama kelabnya. Foto kredit: Johor Southern Tigers.

Dalam pada itu, Safawi mengakui momentumnya lebih baik sekembalinya dari Sukan Asia baru-baru ini.

"Saya rasa lebih yakin lagi . Semua tahu tahap bermain di peringkat antarabangsa macam mana , tapi saya tak boleh ambil mudah ketika latihan ataupun dalam perlawanan.

"Saya juga gembira kerana rezeki saya untuk terus menyarung jersi Harimau Malaya dalam skuad jurulatih Tan Cheng Hoe.

"Saya harap kita akan dapat mengembalikan kegemilangan bola sepak negara dengan adanya pemain bawah 23 Tahun dan pemain senior," tambahnya.

Sebagai rekod, Safawi antara sembilan pemain B23 yang dipanggil Cheng Hoe bagi menyertai skuad kebangsaan bermula 3 September ini.

Latihan pusat berkenaan diadakan bagi persediaan untuk menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa kelas A menentang Taiwan dan Kemboja pada 7 dan 10 September ini.

Safawi Rasid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain