suria

Sukan Asia: Jijoe sumbang emas ke-5 Malaysia

JAKARTA: Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang menyumbang pingat emas kelima kontinjen Malaysia menerusi acara pecut individu lelaki pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, di sini, Khamis.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu berusia 30 tahun itu menewaskan pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya dalam dua pusingan perlumbaan di pentasi final di Velodrom Antarabangsan Jakarta di sini.

Ia merupakan pingat peribadi kedua diraih Mohd Azizulhasni yang memenangi pingat perak bersama dua pelumba negara yang lain iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis dalam acara pecut berpasukan pada hari pembukaan berbasikal trek, Isnin lepas.

Mohd Azizulhasni yang ditemui media Malaysia selepas majlis penyampaian pingat teruja kerana menamatkan penantian skuad berbasikal negara untuk memenangi acara berkenaan dan menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hadiah terbaik sempena Hari Kebangsaan negara yang akan disambut Jumaat.

"Perlumbaan hari ini bukan mudah seperti yang anda saksikan di televisyen kerana acara ini amat tegang kerana banyak muslihat dan ‘game plan'.

"Saya lebih memberi tumpuan kepada taktikal perlumbaan dan aspek psikologi untuk memberi tekanan kepada pihak lawan dan saya lihat strategi ini berhasil," kata Mohd Azizulhasni yang memotong misainya sejurus majlis penyampaian pingat sebagai gimik kejayaannya memenangi acara berkenaan.

Pada masa yang sama, Mohd Azizulhasni menyasarkan untuk meraih emas kedua dalam acara kegemarannya, keirin, esok namun tidak memandang rendah keupayaan pelumba lain yang turut memburu kemenangan dalam acara berkenaan.

"Untuk acara keirin, sudah tentu saya mahu menang tapi acara ini sangat taktikal dan macam-macam boleh berlaku termasuk pelumba terbaik pun boleh tersingkir seawal pusingan pertama perlumbaan dan sasaran saya adalah melayakkan diri ke final terlebih dahulu”, kata Mohd Azizulhasni yang menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara pecut pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyaksikan perlumbaan berkenaan, turut memuji persembahan cemerlang yang ditampilkan Mohd Azizulhasni yang menyumbang emas kelima negara dan yakin kontinjen negara mampu mencapai sasaran tujuh pingat emas.

"Insya-Allah, saya yakin Mohd Azizulhasni dapat menyumbang satu lagi pingat dalam acara kegemarannya, keirin esok.

"Kita ada beberapa acara lagi yang boleh menyumbang pingat emas seperti pelayaran dan skuasy berpasukan", kata Syed Saddiq.

Terdahulu, Muhammad Shah Firdaus gagal dalam misinya untuk meraih pingat gangsa dalam acara berkenaan setelah tewas 1-2 dalam tiga pusingan perlumbaan penentuan pingat gangsa kepada pelumba Korea Selatan, IM Chae-bin. -- Bernama

Jijoe, Sukan Asia, Azizulhasni

Artikel Berikut

Artikel Lain